Kerajaan Perluas Akses Program TVET, Pastikan Tiada Kumpulan Masyarakat Tercicir – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan kerajaan melalui Dasar TVET Negara 2030, komited untuk memperluaskan akses kepada program TVET dengan memberi penekanan kepada pelaksanaan program yang responsif, fleksibel dan inklusif.
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata ia bagi memastikan tiada kumpulan masyarakat yang tercicir daripada peluang pendidikan, latihan teknikal, vokasional termasuk pelajar tahfiz dan huffaz.
“Program tahfiz yang dilaksanakan melalui Persijilan Kemahiran Malaysia (SPKM) dijalankan melalui kaedah Sistem Latihan Pusat Bertauliah (SLaPB) dan Akademi dalam Industri (ADI).
“Sijil Kemahiran Malaysia juga boleh diperolehi melalui kaedah Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT) atau ADI Pekerjaan berdasarkan bukti-bukti pengalaman kerja atau latihan terdahulu,” katanya ketika penggulungan perbahasan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut beliau lagi, beberapa program juga telah diwujudkan bagi pelajar tahfiz yang tidak mempunyai laluan akademik atau tidak menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Antaranya program sepenuh masa di Institut Latihan Perindustrian (ILP) dan Institut Kemahiran MARA (IKM) untuk lepasan tahfiz, program sepenuh masa di institusi tahfiz seperti Institut Jawahir, program TVET jangka pendek institusi TVET seperti di GIATMARA, Akademi Binaan Malaysia dan Kolej Komuniti, serta program khas seperti Techno Huffaz di Politeknik dan Huffaz Professional di Universiti Kuala Lumpur (UniKL).
Ahmad Zahid dalam pada itu memaklumkan terdapat 36 buah institusi TVET awam di seluruh negara yang menawarkan pelbagai program TVET untuk pelajar tahfiz.
“Antara kursus yang ditawarkan adalah Teknologi Automotif, Elektrik dan Elektronik, Teknologi Maklumat, Keusahawanan, Hospitaliti dan lain-lain.
“Penyertaan pelajar tahfiz ke program TVET menunjukkan peningkatan daripada 73 orang pada tahun 2020 kepada 2,761 orang pada tahun 2024. Seramai 2,449 orang pelajar tahfiz berjaya menamatkan pengajian dalam program TVET pada tahun 2024.
“Kebanyakkan program TVET diperingkat sijil yang disediakan oleh institusi TVET awam dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan termasuk untuk pelajar tahfiz.
“Pembiayaan tersebut adalah termasuk yuran pengajian, yuran penginapan dan makan minum tertakluk kepada program yang ditawarkan. Selain itu, terdapat institusi yang menyediakan wang saku secara bulanan kepada pelajar,” – UMNO Online