Gerak Kerja Dipertingkat, Fokus Depani PRU16 – Mohamad
SEREMBAN, 18 Ogos – Timbalan Presiden UMNO yang juga Ketua UMNO Bahagian Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan menyeru akar umbi bahagian pada ketika ini memberi tumpuan kepada gerak kerja mendepani Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau, berkata persiapan awal tersebut penting bagi mendekati pelbagai lapisan masyarakat di kawasan tersebut.
“Pasca mesyuarat bahagian ini adalah memperkukuh gerak kerja, untuk terus memperkasa parti, membanci sikap, mendekati masyarakat di kawasan masing-masing, jangan tunggu hendak pilihan raya baru hendak terkial-kial buat gerak kerja.
“Gerak kerja perlu diteruskan dan dipertingkat kerana sudah masuk tahun ketiga ini kita sudah menumpukan usaha untuk menghadapi PRU16,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui UMNO Online usai merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Rembau di Hotel Royal Chulan, Seremban, semalam.
Mengulas lanjut kata Mohamad di samping mengekalkan penguasaan Barisan Nasional (BN) di Parlimen Rembau serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembau, Kota, Chembong, beliau turut memaklumkan mahu merampas kembali DUN Paroi.
“Ya memang hasrat kita untuk mengambil alih kerusi DUN Paroi yang telah tewas pada dua kali PRU14 dan PRU15.
“UMNO/Barisan Nasional Paroi dan bahagian, kita mahu pastikan supaya Paroi ini akan dapat kembali semula kepada kita.
“… kerana saya berkeyakinan bahawa masyarakat di Paroi sudah muak dengan pembangkang yang tidak buat apa-apa pun di kawasan mereka,” ujar beliau. – UMNO Online