FRIM Laksana Kajian Perlombongan REE Secara Berfasa – Johari
KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) sedang melaksanakan aktiviti perlombongan unsur nadir bumi (REE) secara bertanggungjawab di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK), kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata kajian ini bertujuan menyediakan asas saintifik dan teknikal bagi pertimbangan dasar berkaitan larangan perlombongan di HSK, kawasan sensitif alam sekitar serta kawasan rizab perlindungan.
“Perlaksanaan kajian ini dirancang secara berfasa dalam tempoh lima tahun melibatkan fasa pra-perlombongan, semasa perlombongan, dan pasca perlombongan.
“Ia turut melibatkan kerjasama agensi teknikal seperti Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia, Jabatan Pelindungan Hidupan Liar dan Taman Negara, serta Jabatan Alam Sekitar,” katanya.
Johari berkata demikian ketika ditanya Datuk Dr Alias Razak (Kuala Nerus-PN) ketika waktu pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas lanjut kata Johari, komponen kajian tersebut meliputi enam aspek utama iaitu hidrologi, tanah, flora, fauna, stok karbon dan sosioekonomi.
Di samping itu menurut beliau, FRIM turut menjalankan kajian jangka pendek pada 2024 di kawasan ladang getah di Mukim Kenering, Perak yang menggunakan kaedah perlombongan larut lesap.
“Berdasarkan laporan kajian awal tersebut, ia boleh dirumuskan bahawa aktiviti perlombongan nadir bumi ini memerlukan lebih masa untuk mendapat keputusan yang konkrit untuk kita buat perlombongan besar selepas ini.
“Tetapi ini memerlukan masa pengumpulan data ulangan bagi tahun 2025 sedang dilaksanakan bagi membandingkan dapatan awalan dan terkini. Aktiviti ini dijangka selesai pada September 2025 bagi tujuan pelaporan pada Oktober 2025,” ujar beliau. – UMNO Online