Bantuan Mahasiswa Anak Johor, Komitmen Kerajaan Utamakan Pendidikan – Mohd Jafni

JOHOR BAHRU, 18 Ogos – Kerajaan Negeri Johor terus memperkukuhkan komitmen dalam memastikan anak-anak Johor tidak tercicir daripada mengejar ilmu, sejajar dengan agenda ‘Maju Johor’ yang menekankan pendidikan sebagai teras utama pembangunan negeri.

Malam tadi, Majlis Penyerahan Bantuan Mahasiswa Anak Johor 2025 bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai, Senai dan Bukit Batu telah berlangsung yang melibatkan seramai 275 mahasiswa diraikan dengan jumlah peruntukan keseluruhan bernilai RM239,500.

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai, Datuk Mohd Jafni Md Shukor.

Menurut Mohd Jafni, bantuan tersebut bukan hanya bernilai dari sudut kewangan, malah menjadi simbol kasih sayang kerajaan negeri terhadap masa depan anak-anak muda Johor.

“Bantuan ini adalah amanah serta tanda kepercayaan rakyat dan kerajaan kepada mahasiswa. Gunakanlah peluang ini sebaik mungkin untuk mencapai kecemerlangan, dan akhirnya pulang berbakti dengan ilmu serta kepakaran demi membina Johor yang lebih maju,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebooknya.

Dalam majlis berkenaan, seramai 51 mahasiswa menerima bantuan Laptop bernilai RM127,500 manakala 224 mahasiswa menerima Skim Bantuan Pendaftaran bernilai RM112,000 yang disalurkan menerusi Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) bagi meringankan beban kewangan para pelajar dan keluarga mereka.

Mohd Jafni turut menjunjung kasih ke bawah DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor atas titah serta keprihatinan Baginda terhadap pendidikan rakyat Johor, selain merakamkan penghargaan kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang sentiasa menekankan pendidikan sebagai nadi pembangunan negeri.

Ujarnya, Kerajaan Negeri Johor melalui YPJ terus berperanan sebagai pemangkin dalam melahirkan generasi berilmu, dengan memastikan tiada anak Johor yang ketinggalan untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

“Angka ini bukan sekadar jumlah ringgit, tetapi simbol kesungguhan kerajaan negeri dalam memastikan setiap mahasiswa Johor mempunyai peluang sama rata untuk berjaya. Insya-Allah, dengan ilmu yang diperoleh, mereka akan menjadi aset penting dalam menjadikan Johor lebih makmur, sejahtera dan teladan di mata dunia,” tambah beliau lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79