Pemuda UMNO Akan Terus Pertahan Maruah Jalur Gemilang
KUALA LUMPUR, 16 Ogos – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Salleh bertekad untuk terus mempertahankan maruah jalur gemilang dan menzahirkan penghargaan kepada setiap lapisan masyarakat yang memberikan sokongan kepada beliau.
“Selepas hampir dua jam memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi malam tadi, kita tampil dengan tekad untuk terus mempertahankan maruah Jalur Gemilang,” katanya menerusi perkongsian di Facebook Pemuda UMNO Malaysia.
Dr Akmal turut menzahirkan penghargaan kepada barisan Pemuda UMNO dari seluruh negara yang hadir memberikan sokongan, termasuk Exco dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian daripada pelbagai negeri, bersama rakyat yang prihatin terhadap isu ini.
Menerusi perkongsian itu juga, Pemuda UMNO menegaskan perjuangan belum selesai dan pergerakan itu akan terus berdiri di barisan hadapan demi mempertahankan kedaulatan negara.
“Kami tidak akan berganjak walau seinci, biarpun ditekan, diugut atau digertak. Selagi darah mengalir di tubuh, maruah negara akan terus dipertahankan,” katanya.- UMNO Online