Kes Zara Qairina: Puteri UMNO Tuntut Siasatan Bebas, Telus
KUALA LUMPUR, 16 Ogos – Pergerakan Puteri UMNO Malaysia menuntut siasatan bebas dan telus berhubung isu yang melibatkan adik Zara Qairina.
Ketuanya, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi berkata, tragedi tersebut menjadi peringatan bahawa keselamatan wanita dan kanak-kanak mesti menjadi keutamaan.
“Puteri UMNO Malaysia menyambut baik kenyataan media naratif kolektif Puteri UMNO Negeri Sabah dalam isu #Justice4Zara, dan mengulangi pendirian untuk terus menuntut siasatan bebas serta telus demi mendapatkan keadilan untuk arwah.
“Tragedi ini menjadi peringatan bahawa keselamatan wanita dan kanak-kanak mesti menjadi keutamaan negara,” katanya pada satu sidang media, Jumaat.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa Biro Kebajikan dan Aduan Awam Puteri UMNO Malaysia telah menyerahkan kad insurans perlindungan kepada 50 orang ahli Puteri yang aktif melaksanakan kerja-kerja kebajikan di seluruh negara.
“Biro Kebajikan dan Aduan Awam Puteri UMNO Malaysia telah menyerahkan kad insurans perlindungan kepada 50 orang ahli Puteri yang aktif melaksanakan kerja-kerja kebajikan serta misi sukarelawan di seluruh negara melalui wakil negeri pada hari ini.
“Penerima terdiri daripada sukarelawan terpilih yang telah menunjukkan komitmen tinggi dalam membantu masyarakat, sama ada melalui program kemanusiaan, bantuan bencana, mahupun inisiatif kebajikan komuniti.
“Langkah ini bukan sahaja melindungi keselamatan mereka ketika bertugas, malah sebagai pengiktirafan terhadap pengorbanan dan sumbangan besar mereka kepada rakyat serta negara,” katanya lagi.
Pada Khamis media melaporkan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menyatakan sokongan penuh terhadap keputusan Jabatan Peguam Negara agar inkues penuh dijalankan bagi mengenal pasti punca dan sebab kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan MKT juga berharap proses inkues tersebut dapat dilaksanakan berlandaskan undang-undang bagi memberikan keadilan sewajarnya. – UMNO Online