Bantuan Bencana Dan Sumbangan IPT Bukti Keprihatinan Kerajaan Negeri – Tok Ajak

KOTA MELAKA, 16 Ogos – Lebih 200 penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas yang terjejas akibat ribut pada Jun lalu menerima bantuan kewangan yang disampaikan oleh Exco Kerajaan Negeri Melaka merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telok Mas, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.

Dalam kejadian ribut itu, kebanyakan kediaman penduduk dari Ujong Pasir hingga ke Pernu mengalami kerosakan pada bahagian bumbung, manakala beberapa rumah rosak teruk akibat ditimpa pokok.

Selain bantuan bencana, Datuk Abdul Razak atau lebih mesra dikenali sebagai Tok Ajak turut menyerahkan sumbangan One-Off IPT daripada Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) kepada 31 pelajar yang bakal melanjutkan pengajian ke peringkat diploma dan ijazah.

Menurut Datuk Abdul Razak menerusi perkongsian di Facebooknya, pemberian bantuan ini adalah bukti keprihatinan kerajaan negeri dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa terbela.

“Kerajaan negeri tidak pernah menutup mata terhadap kesusahan rakyat. Hari ini kita hulurkan bantuan kepada mangsa ribut bagi meringankan beban mereka, dan pada masa sama kita menyokong anak-anak Telok Mas yang bakal menjejakkan kaki ke menara gading.

“Inilah komitmen kami, memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” katanya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79