Isu Bendera Jalur Gemilang Terbukti Pemuda UMNO Tidak Berat Sebelah

KUALA LUMPUR, 15 Ogos – Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Terengganu tetap dengan pendirian, menyokong penuh tindakan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Salleh bagi menjunjung maruah negara, bersifat kenegaraan serta menentang ketidakadilan.

Setiausahanya Ahmad Abaidillah Ariffin berkata, ini kerana Pemuda tidak pernah bertindak hipokrit dan berat sebelah sekiranya melibatkan kesalahan dalam isu bendera Jalur Gemilang.

“Pemuda UMNO Terengganu mempertikaikan sikap opurtunis AMK Terengganu dalam mengeluarkan kenyataan tanpa merujuk penjelasan yang tuntas daripada rakan perpaduan negeri terlebih dahulu.

“Lebih mengecewakan ianya dikeluarkan selepas kenyataan rasmi telah dibuat oleh Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Terengganu dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia. Malahan pihak PDRM terus melaksanakan siasatan sejurus menerima laporan berkaitan kekhilafan teknikal paparan Jalur Gemilang di laman rasmi Pemuda UMNO Terengganu.

“Ini menunjukkan bahawa Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal bin Saleh dan seluruh anggota kepemimpinan Pemuda UMNO tidak pernah bertindak hipokrit dan double standard sekiranya melibatkan kesalahan dalam isu berkenaan.

“Sikap keterbukaan ini menggambarkan bahawa Pemuda UMNO tidak pernah berkompromi kepada sesiapa sahaja sekiranya didapati bersalah,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Sementara itu Abaidillah turut mempersoal tindakan AMK Terengganu yang memilih bulu dalam menyatakan pendirian mereka.

Menurut ini kerana sehingga ke hari ini tiada kenyataan rasmi daripada mereka terhadap individu yang memasang bendera Jalur Gemilang secara terbalik.

“Adakah kerana individu tersebut disokong kuat oleh pimpinan DAP menyebabkan kalian membisukan mulut dan memekakkan telinga?

“Apakah rakyat boleh menerima sikap prejudis DAPSY dan AMK dalam menguruskan setiap isu yang berbangkit? Ataupun tindakan tersebut sebenarnya bersandarkan political brotherhood sentiment dalam koalisi Pakatan Harapan,” soal beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79