Isu Bendera: Dr Akmal Gesa Kerajaan Gubal Undang-Undang
KUALA LUMPUR, 15 Ogos – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menggesa kerajaan untuk menggubal akta undang-undang agar ada hukuman lebih berat dikenakan terhadap mana-mana individu yang cuba mempermainkan Jalur Gemilang.
Ujarnya, Himpunan Solidariti Jalur Gemilang yang diadakan pada Khamis di Pulau Pinang bukanlah tujuan untuk membuli tetapi menzahirkan kecintaan terhadap kedaulatan bendera tersebut.
“Saya tidak mahu ada orang cakap saya pembuli. Saya bukan pembuli. Hari ini kita datang berhimpun untuk memberitahu bahawa kita terlalu sayangkan bendera ini.
“Jadi, hari ini kita ingin meminta dan mendesak pihak kerajaan agar satu akta undang-undang digubal untuk memastikan ada hukuman jauh lebih berat dikenakan kepada mana-mana pihak yang cuba memperkotak-katikkan bendera kita.
“Kita minta juga… tempoh hari kita minta polis siasat (isu bendera di Pulau Pinang). Polis dah siasat dan kertas siasatan telah pun diberikan kepada Timbalan Pendakwa Raya maka kita mohon agar individu tersebut perlulah didakwa,” katanya menerusi hantaran video yang dimuatnaik di laman Facebooknya.
Tegasnya, beberapa perkara yang terjadi melibatkan Jalur Gemilang sebelum ini bukanlah isu kecil kerana ia melibatkan maruah negara.
“Jadi, pada hari ini kita datang berhimpun dengan pelbagai bangsa kerana kita adalah semua 1 Malaysia. Hari ini kita berhimpun bukan untuk membuli. Kita nak zahirkan satu mesej yang jelas bahawa isu bendera ini bukan kecil. Isu bendera ini adalah maruah kita semua.
“Kita mohon agar tindakan tersebut didakwa agar ia boleh menjadi satu pengajaran buat semua. Ini bukan soal politik, bangsa mahupun agama. Ini soal kita sebagai rakyat Malaysia. Kita merentasi parti politik.
“Kita bukan datang dengan panji politik. Kita datang dengan satu panji… inilah panji Jalur Gemilang kita. Bendera ini adalah maruah kita maka hari ini kita berhimpun merentasi parti politik, bangsa mahupun agama,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang bersama-sama turun untuk menjayakan Himpunan Solidariti Jalur Gemilang.
“Terima kasih saya ucapkan, mewakili Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia kepada semua yang hadir daripada badan bukan kerajaan (NGO) mahupun Armada.
“Terima kasih juga kepada semua rakyat yang turun. Bukan sahaja Melayu, Cina dan India pun ada sekali untuk menunjukkan solidariti kita bersama. Ini bukan soal bangsa, agama mahupun politik. Ini soal maruah negara kita,” katanya lagi.
Dilaporkan lebih 500 individu yang diketuai oleh Dr Akmal telah berarak dari tapak pasar malam Kepala Batas sejauh lebih 1.4 kilometer ke sebuah kedai peralatan elektronik yang pernah tular mengibarkan bendera Jalur Gemilang secara terbaik.
Terdahulu, media melaporkan bahawa himpunan tersebut sepatutnya diadakan pada Isnin namun ditangguhkan untuk menghormati proses dan tindakan undang-undang yang telah diambil oleh pihak polis Pulau Pinang terhadap pelaku. – UMNO Online