Wan Rosdy Seru Kibarkan Jalur Gemilang, Semarakkan Bulan Kemerdekaan

KUANTAN, 14 Ogos – Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyeru seluruh rakyat negeri ini untuk bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera negeri Pahang sebagai tanda cinta akan negara dan negeri sempena sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini.

Beliau berkata, pengibaran bendera bukan sekadar simbol, tetapi lambang kesatuan, semangat patriotisme, dan penghargaan kepada perjuangan para pejuang kemerdekaan.

“Saya mengajak semua rakyat Pahang untuk menghiasi kediaman, premis perniagaan dan kenderaan dengan Jalur Gemilang dan bendera negeri sebagai tanda kasih dan bangga kita terhadap tanah air tercinta,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya berkaitan pelepasan Konvoi Kembara Merdeka MAKPEN 2025 di perkarangan Wisma Sri Pahang hari ini.

Konvoi tersebut akan menjelajah ke seluruh negeri Pahang dengan membawa mesej perpaduan dan penghayatan semangat kemerdekaan di setiap lokasi yang dikunjungi.

Menurut beliau, sambutan Bulan Kebangsaan perlu disemarakkan dengan pelbagai aktiviti berunsur patriotik agar generasi muda terus mengekalkan semangat cintakan negara. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79