UMNO Sokong Inkues Penuh Kes Zara Qairina, Tuntut Keadilan Telus

KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menyatakan sokongan penuh terhadap keputusan Jabatan Peguam Negara agar inkues penuh dijalankan bagi mengenal pasti punca dan sebab kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan MKT juga berharap proses inkues tersebut dapat dilaksanakan berlandaskan undang-undang bagi memberikan keadilan sewajarnya.

“UMNO amat dukacita dan cukup terhiris dengan tragedi kematian arwah adik Zara Qairina Mahathir. Pengendalian kes ini yang dilihat amat lemah bahkan tidak mematuhi prosedur dan prosedur operasi standard (SOP) biasa sebagaimana perakuan pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) amat mengecewakan.

“UMNO menyokong penuh keputusan Jabatan Peguam Negara untuk inkues penuh dijalankan untuk menentukan punca dan sebab kematian termasuk sama ada terdapat unsur jenayah atau sebaliknya dalam kematian Zara Qairina.

“Moga-moga proses inkues ini kelak akan dikendalikan secara bebas dan telus mengikut peruntukan undang-undang bagi mendapatkan keadilan tuntas buat arwah Zara Qairina,” katanya pada sidang media usai mesyuarat tersebut, malam tadi.

Sementara itu Dr Asyraf berkata MKT juga turut sama menzahirkan kesyukuran atas keputusan sebulat suara tiga panel Hakim Mahkamah Persekutuan berkenaan semakan kehakiman membabitkan Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

“UMNO bersyukur ke hadrat Allah dan menyambut baik keputusan sebulat suara ketiga-tiga Hakim Mahkamah Persekutuan yang mengarahkan semakan kehakiman Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak berkaitan Titah Adendum agar disegerakan pendengarannya di Mahkamah Tinggi.

“Keputusan ini memberikan kelegaan terhadap usaha-usaha untuk mendapatkan keadilan buat Datuk Seri Najib dan akan terus beriltizam untuk menggunakan semua saluran yang ada untuk mendapatkan pembelaan buat Datuk Seri Najib,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79