PRN Bukan Medan Ugut Rakyat, Pembangunan Bukan Gula-Gula Bermusim – Junaidi Sahat

RANAU, 14 Ogos – Barisan Nasional (BN) Ranau menegaskan bahawa pilihan raya tidak boleh dijadikan medan untuk mengugut rakyat dengan janji pembangunan bersyarat, seolah-olah projek hanya akan berjalan jika pihak tertentu menang undi.

Pengerusinya merangkap Ketua UMNO Bahagian Ranau, Datuk Junaidi Sahat berkata, demokrasi bukan urus niaga yang memaksa rakyat memilih demi mendapatkan kemudahan asas atau memastikan projek diteruskan.

“Pembangunan adalah amanah yang mesti dijalankan oleh sesiapa sahaja yang memegang kuasa, bukan gula-gula bermusim yang hanya muncul dua atau tiga bulan sebelum pilihan raya,” tegasnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, BN tidak pernah menolak pembangunan, malah banyak infrastruktur dan kemudahan yang ada di Ranau hari ini adalah warisan pentadbiran BN.

Namun, katanya, menyokong pembangunan tidak bermaksud menerima bulat-bulat pengumuman projek mega yang tidak disertakan perancangan jelas.

Junaidi mengambil contoh projek “Pekan Baharu Paginatan” yang diumumkan baru-baru ini tetapi menimbulkan pelbagai persoalan.

“Projek Pekan Baharu Paginatan adalah contoh yang mengundang tanda tanya. Bajet belum diluluskan. Status tanah belum jelas. Garis masa pelaksanaan tidak wujud. Tetapi ia sudah diumum seolah-olah ‘bulldozer’ akan mula bekerja esok.

“Persoalan rakyat mudah, sejauh mana seriusnya ia akan dilaksanakan, di mana lokasinya, dan bila mereka dapat menikmatinya?”

Beliau menegaskan, sementara kerajaan mengumumkan projek-projek mega, masalah asas rakyat Ranau masih terbiar tanpa penyelesaian. Antara isu yang dibangkitkan termasuk:
• Jalan pertanian yang berlubang dan rosak.
• Jambatan uzur yang membahayakan penduduk.
• Lereng sungai terbiar hingga menyebabkan banjir.
• Balai raya usang dan dewan masyarakat retak.
• Kemudahan sukan belia yang hampir pupus fungsinya.

Menurutnya, inilah keperluan mendesak yang sepatutnya diberi perhatian segera sebelum merancang projek-projek berskala besar.

Junaidi turut mengingatkan bahawa Ranau sebagai hab pelancongan Sabah berdepan cabaran serius seperti kesesakan lalu lintas, kekurangan parkir, dan masalah bekalan air yang pernah dijanjikan akan selesai Ogos ini tetapi masih menjadi rungutan utama penduduk.

“Jika janji bulan lepas pun gagal disempurnakan, apatah lagi janji untuk 10 atau 20 tahun akan datang,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa pembangunan tidak boleh menjadi alat politik jangka pendek, sebaliknya perlu dirancang dan dilaksanakan demi kepentingan rakyat sepanjang masa. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79