Portfolio Aset Petronas: Perancangan Teliti Mampu Pastikan Kemajuan Negara Terjamin – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi percaya dengan perancangan yang teliti dan komitmen bersama, Kerajaan Perpaduan mampu memastikan kemajuan negara terjamin.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO menerusi hantaran di laman Facebooknya memaklumkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Anwar Ibrahim telah menjawab perosalan berhubung rasional pelaksanaan rasionalisasi portfolio aset Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS).
“Ketika sesi Waktu Pertanyaan Menteri (PMQT) di Parlimen pagi tadi, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menjawab persoalan berhubung pelaksanaan rasionalisasi portfolio aset PETRONAS serta strategi syarikat tersebut dalam menghadapi ketidaktentuan pasaran global, termasuk melibatkan penjualan aset di Kanada dan Brazil.
“Turut dibangkitkan, senarai undang-undang lapuk yang akan dipinda atau dimansuhkan oleh Kerajaan supaya lebih selaras dengan keperluan semasa dan perkembangan negara, bersama garis masa pelaksanaannya.
“Isu-isu ini bukan sahaja memberi kesan kepada hala tuju ekonomi negara, malah membentuk dasar dan perundangan yang lebih relevan untuk masa depan Malaysia.
“Saya percaya, dengan perancangan yang teliti dan komitmen bersama, kita mampu memastikan kemajuan negara terus terjamin serta kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.
Pada Khamis, Anwar ketika sesi PMQT di Dewan Rakyat berkata, pelaksanaan rasionalisasi portfolio aset PETRONAS dibuat tanpa campur tangan politik.
Perdana Menteri berkata, penilaian aset huluan PETRONAS dilakukan secara berterusan mengikut kebijaksanaan dan pertimbangan komersial syarikat minyak dan gas multinasional itu sendiri.
Beliau berkata, PETRONAS adalah satu badan korporat yang diiktiraf antara syarikat terbaik di dunia dan perspektif jangka panjang harus diambil kira dengan melihat kepada ketidaktentuan dalam pasaran minyak dan gas global. – UMNO Online