Pemuda UMNO Segamat Tegaskan Simbol Negara Bukan Bahan Politik, Seru Rakan BN Kekal Bersatu
SEGAMAT, 14 Ogos – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Segamat, Muhammad Ferhad Azuar menegaskan kenyataan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Akmal Saleh berhubung isu penghinaan simbol negara tidak pernah bertujuan mengugut mana-mana pihak.
Beliau berkata, kenyataan tersebut adalah mesej tegas bahawa perbuatan menghina atau merendahkan simbol kebangsaan adalah satu “garis merah” yang tidak boleh dipandang ringan.
“Isu sebenar adalah mempertahankan simbol negara, bukannya menyerang sesama rakan dalam komponen Barisan Nasional. Tindakan membuat laporan polis terhadap rakan sendiri tidak membantu menguatkan perpaduan,” katanya dalam satu kenyataan.
Muhammad Ferhad mengulas tindakan Pergerakan Pemuda MCA Segamat yang membuat laporan polis serta memuat naik kenyataan di media sosial berkaitan pendirian Dr. Akmal.
Menurutnya, Pemuda UMNO sentiasa konsisten mempertahankan maruah negara, kedaulatan undang-undang dan keharmonian masyarakat.
“Ketegasan tidak bermaksud menolak dialog atau pendidikan, tetapi menunjukkan bahawa dalam isu melibatkan simbol kebangsaan, kita tidak akan berkompromi,” ujarnya.
Beliau turut menyeru rakan-rakan dalam BN agar memahami konteks kenyataan pemimpin masing-masing sebelum mengambil tindakan yang boleh menjejaskan hubungan politik.
“Dalam politik, keberanian mempertahankan prinsip adalah tunjang perjuangan. Malangnya, ada tindakan yang hanya akan mengeruhkan keadaan dan melemahkan semangat setiakawan dalam gabungan sendiri,” katanya.
Muhammad Ferhad menegaskan Pemuda UMNO Segamat akan terus berdiri teguh bersama Ketua Pemuda UMNO Malaysia dalam mempertahankan maruah negara tanpa mengira kaum atau parti. – UMNO Online