Mencabar Keabsahan PM, Suatu Salah Tafsir Undang-Undang Yang Serius – Nik Saiful
KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Dakwaan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy, yang memfailkan saman bagi mencabar kesahihan pemilihan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ahli Parlimen dan pelantikan sebagai Perdana Menteri adalah tidak berasas dari sudut perlembagaan, kata Pengerusi Pertubuhan Bertindak Peguam & Intelek Kelantan, Nik Saiful Adli Burhan.
Ini kerana katanya, Perkara 48(1)(e) dengan jelas menyatakan seseorang gugur kelayakan Ahli Parlimen jika disabitkan kecuali diampun.
“Perkara 48(1)(e) memang menyatakan seseorang hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen jika disabitkan kesalahan dan dihukum penjara setahun atau lebih, atau denda tidak kurang RM2,000, melainkan telah diberi pengampunan.
“Dalam kes Datuk Seri Anwar, baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA) telah memberikan pengampunan penuh sekali gus ianya membatalkan sebarang halangan kelayakan.
“Perkara 48 tidak boleh disalah tafsir dengan mencampur aduk Perkara 42. Perkara 42 berkaitan kuasa pengampunan YDPA, manakala Perkara 48 adalah syarat kelayakan Ahli Parlimen. Kedua-duanya berasingan dan tidak wajar dimanipulasi demi agenda politik,” katanya kepada UMNO Online.
Mengulas lanjut, Nik Saiful juga Ketua Penerangan UMNO Bahagian Ketereh menegaskan bahawa Perkara 48 tidaklah dibaca bersama dengan perkara 42 Perlembagaan Persekutuan kerana masing-masing menceritakan perihal perkara yang berbeza.
“Perkara 42 iaitu pengampunan oleh YDPA adalah di bawah bab ketiga berkenaan kuasa eksekutif Agong, manakala Perkara 48 adalah berkenaan syarat-syarat ahli parlimen di bawah bab keempat Perlembagaan Persekutuan berkenaan Badan Perundangan Persekutuan.
“Kedua-duanya di bawah bab berbeza dalam Perlembagaan Persekutuan. Bahkan Perkara 48 bukan spesifik mengenai pengampunan tetapi terpakai untuk semua individu yang disabitkan bersalah oleh mahkamah.
“Bagaimana seorang yang terpelajar dalam bidang undang-undang boleh tersalah baca peruntukan undang-undang yang dengan jelas menyatakan bahawa Perkara 48(1)(e) ini ada pengecualiannya iaitu apabila telah diberi pengampunan,” jelasnya.
Seterusnya kata Nik Saiful lagi, apabila melibatkan keabsahan sesuatu pilihan raya, kaedah sepatutnya ialah melalui petisyen pilihanraya.
“Perbuatan memfailkan saman selepas tempoh yang lama hanyalah tindakan pemikiran terkemudian (afterthought) yang saya percaya didorong oleh pemikiran politik sempit.
“Menggunakan mahkamah untuk permainan politik, apatah lagi dengan tafsiran undang-undang yang salah, bukan sahaja mengelirukan rakyat tetapi merosakkan kewibawaan institusi perundangan. Ini adalah langkah salah arah yang berbahaya,” ujarnya.
Ujarnya lagi, mereka yang dipilih rakyat, mahupun yang tidak terpilih, sepatutnya bekerja untuk rakyat dan negara, bukan mencetuskan kekacauan.
“Jika mahu menjadi Perdana Menteri, tunggulah pilihan raya seterusnya. Ruang demokrasi Malaysia sentiasa terbuka setiap lima tahun,” tegasnya. – UMNO Online