Kerajaan Madani Komited Laksana Reformasi Undang-Undang – Azalina
KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Kerajaan Madani sentiasa komited untuk melaksanakan agenda reformasi undang-undang secara menyeluruh, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia berkata, reformasi undang-undang tersebut dilaksanakan untuk memastikan sistem perundangan negara sentiasa relevan.
“Sewaktu Sesi Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) pagi tadi, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen Kerajaan Madani dalam melaksanakan reformasi undang-undang secara menyeluruh untuk memastikan perundangan negara sentiasa relevan, moden dan selari dengan perkembangan teknologi, ekonomi serta keperluan masyarakat.
“Usaha ini meliputi reformasi undang-undang lapuk, pindaan undang-undang sedia ada, serta penggubalan undang-undang baharu seperti Akta Perkhidmatan Parlimen, Akta Keselamatan Dalam Talian, RUU Kebebasan Maklumat dan RUU Jenayah Siber.
“Dilaksanakan secara berperingkat sejak 2023, lebih daripada 30 inisiatif reformasi undang-undang telah dilaksanakan dalam masa kurang daripada 3 tahun bertujuan memperkukuh sistem keadilan agar kekal telus, adil dan berkesan demi kemajuan negara,” katanya.
Pada Khamis, Anwar ketika sesi PMQT di Dewan Rakyat berkata, sebanyak 14 akta baharu digubal, 97 pindaan akta dan 13 rang undang-undang dilaksanakan sepanjang dua setengah tahun pentadbiran Kerajaan Madani.
Beliau menyifatkan pelaksanaan pembaharuan undang-undang dan Perlembagaan itu sebagai pencapaian positif di bawah pentadbirannya.
“Keseluruhannya, terdapat 23 langkah reformasi undang-undang setakat ini, termasuk dua pindaan Perlembagaan, satu berkaitan isu kewarganegaraan dan satu lagi membabitkan Akta Perkhidmatan Parlimen (PSA).
“Perkembangan ini adalah rekod dua setengah tahun pentadbiran Kerajaan MADANI yang belum dapat ditandingi, termasuk oleh kerajaan terdahulu,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid, yang meminta penjelasan mengenai senarai undang-undang lapuk yang akan dipinda atau dimansuhkan. – UMNO Online