Jambatan Sultan Muzzaffar Shah Pemacu Kemajuan, Erat Hubungan Antara Komuniti – Saarani
KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyifatkan Jambatan Sultan Muzzaffar Shah menjadi pemacu kepada kemajuan dan mengerat hubungan antara komuniti setempat.
Beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak berkata ia juga membuka peluang baharu dalam pembangunan sosioekonomi Kuala Kangsar dan negeri Perak secara keseluruhan.
“Semoga dengan terbinanya Jambatan Sultan Muzzaffar Shah ini mampu menjadi pemangkin kepada kemajuan, mengukuhkan lagi jaringan antara komuniti sekitar serta membuka lembaran baharu dalam pembangunan sosioekonomi Kuala Kangsar dan seluruh negeri Perak Darul Ridzuan,” katanya.
Saarani berkata demikian menerusi satu hantaran di Facebook berkongsi Perasmian Jambatan Sultan Muzzaffar Shah yang disempurnakan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini.
Keberangkatan baginda diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim. Turut hadir Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Mengulas lanjut Saarani memaklumkan pembinaan jambatan dua lorong dua hala itu sepanjang 300 meter dan ia telah bermula pada tahun 2017 dengan kos RM37.9 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 dan telah dibuka untuk kegunaan awam sejak Oktober 2019.
Katanya projek ini turut meliputi pembinaan jalan raya sepanjang 3 kilometer, naik taraf persimpangan, pemasangan perabot jalan serta lampu jalan bagi meningkatkan keselamatan dan keselesaan pengguna.
“Jambatan Manong yang sebelum ini menghubungkan Kampung Seberang Manong dengan Pekan Manong di Kampung Simpang Melembu, kini secara rasmi dikenali sebagai Jambatan Sultan Muzzaffar Shah.
“Kemudahan baharu ini menjadi laluan alternatif yang memendekkan masa perjalanan dari Kampung Seberang Manong ke Pekan Manong kepada hanya 13 minit (3.5 km) berbanding 40 minit (36 km) sebelum ini,” ujar beliau. – UMNO Online