Festival Tip Of Borneo, Naik Taraf Infrastruktur Pacu Pelancongan Tanjung Simpang Mengayau – Zairani
Kudat, 14 Ogos – Ketua Penerangan Puteri UMNO Sabah merangkap Ketua Puteri UMNO Kudat, Zairani Awang, mencadangkan penganjuran Festival Tip of Borneo sebagai acara tahunan rasmi, disertai dengan usaha menaik taraf infrastruktur pelancongan bagi memperkukuh potensi Tanjung Simpang Mengayau sebagai destinasi bertaraf dunia.
Menurutnya, festival ini adalah inisiatif baharu yang belum pernah dilaksanakan sebelum ini, namun diyakini mampu menjadi tarikan ikonik negeri Sabah.
“Festival ini diharap dapat menarik lebih ramai pelancong, memanjangkan tempoh lawatan mereka, serta menghidupkan ekonomi setempat melalui peluang pekerjaan, keusahawanan, dan promosi adat budaya tempatan di peringkat antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan berkaitan hal terbabit.
Zairani menegaskan bahawa kejayaan cadangan ini memerlukan penyediaan kemudahan moden yang lengkap seperti tandas awam berkualiti, laluan pejalan kaki yang selamat, papan tanda pelbagai bahasa, serta pusat informasi pelawat yang mesra pengguna.
Beliau optimis, dengan perancangan rapi dan gabungan festival berskala global bersama kemudahan pelancongan yang terancang, Tanjung Simpang Mengayau berpotensi menjadi ikon pelancongan Sabah yang mesra pengunjung, lestari, dan membanggakan di persada dunia. – UMNO Online