655 Penghuni Ikuti Program Pemulihan Di Empat Sekolah Henry Gurney – Dr Shamsul Anuar

KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Sebanyak 655 penghuni sedang mengikuti program pemulihan di empat Sekolah Henry Gurney di seluruh negara setakat 9 Julai 2025, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Empat sekolah tersebut menurut beliau ialah Sekolah Henry Gurney Telok Mas, Melaka (412 orang), Sekolah Henry Gurney Keningau, Sabah (92 orang), Sekolah Henry Gurney Puncak Borneo, Sarawak (142 orang), dan Sekolah Henry Gurney Wanita Kota Kinabalu, Sabah (9 orang).

“Bagi tahun 2024, semua 59 penghuni yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lulus 100% dan layak menerima sijil. Seramai 24 pelajar (40%) memperoleh sekurang-kurangnya 1A, termasuk seorang dengan 6A.

“Selain itu, sehingga 30 Jun 2025, seramai 153 penghuni mengikuti latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) melalui pensijilan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dalam bidang seperti jahitan, pastri, elektrik, fabrikasi logam dan operasi tanaman,” katanya di Dewan Rakyat semalam.

Terdahulu Ahli Parlimen Kangar Zakri Hassan meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan berapa jumlah bilangan murid yang berada di Sekolah Henry Gurney pada tahun 2025 dan setakat manakah kejayaan sekolah ini dalam mendidik murid-murid mereka.

Menurut Shamsul Anuar lagi, kejayaan ini membuktikan keberkesanan program intervensi akademik dan TVET dalam membentuk sahsiah positif serta menyediakan peluang kedua kepada pesalah muda agar kembali ke masyarakat sebagai individu produktif dan berintegriti. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79