UMNO Hantar Nota Bantahan Kepada Parti Kerajaan, Tegas Isu Lompat Parti
KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO akan menghantar nota bantahan kepada kepimpinan parti-parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan yang merancang atau telah menerima keahlian bekas ahli UMNO ke dalam parti mereka.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata demikian selepas mesyuarat MKT malam ini.
Beliau berkata langkah ini sebagai isyarat tegas, bahawa perkara tersebut boleh menjejaskan hubungan harmoni antara parti gabungan sekiranya tidak ditangani dengan segera.
“UMNO akan menyampaikan nota bantahan kepada semua kepimpinan parti-parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan Malaysia yang bercadang mahupun yang telah mengizinkan kemasukan ahli-ahli daripada UMNO ke dalam parti masing-masing.
“Protes ini merupakan amaran keras, jika tidak ditangani boleh mengeruhkan hubungan sesama parti-parti gabungan,” katanya pada sidang media yang turut sama diadakan usai mesyuarat.
Dr Asyraf dalam pada itu memaklumkan MKT UMNO kesal dengan insiden pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik oleh segelintir pihak.
Sehubungan itu, katanya tindakan tegas mesti diambil terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan tersebut selaras dengan peruntukan undang-undang.
“UMNO memandang serius kesalahan berulang dalam isu pemasangan dan pengibaran bendera Jalur Gemilang yang merupakan maruah dan lambing kedaulatan Negara.
“Tindakan tegas dan keras termasuk pendakwaan mesti dilakukan ke atas sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan ini tanpa mengira apa jua alasan sebagaimana peruntukan undang-undang yang sedia ada,” ujar beliau. – UMNO Online