Syauqi Sifatkan Teguran Bendera Terbalik Bukan Provokasi, Tetapi Patriotisme

KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Pemuda UMNO Malaysia menegaskan teguran terhadap insiden pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik bukan bertujuan menimbulkan ketegangan, sebaliknya lahir daripada semangat patriotisme dan tanggungjawab mempertahankan maruah negara.

Exconya , Mohd Syauqi Ibnihajar berkata, Jalur Gemilang adalah simbol kemerdekaan, perjuangan dan penyatuan rakyat, justeru sebarang kesilapan  sama ada disengajakan atau tidak  perlu diberi perhatian serius agar tidak berulang.

“Teguran tegas Ketua Pemuda UMNO adalah manifestasi iltizam memastikan semua pihak peka terhadap adab dan tatacara mengibarkan bendera negara, selaras dengan peraturan yang ditetapkan. Dalam bulan kemerdekaan ini, marilah kita mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh rasa bangga dan hormat,” katanya dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online.

Beliau berkata, walaupun peranan pihak berkuasa diakui penting dalam penguatkuasaan undang-undang, teguran pemimpin politik tidak harus dianggap sebagai ugutan.

“Pemuda UMNO tidak akan berdiam diri apabila simbol negara dipermainkan. Jangan jadi seperti DAPSY yang gemar ‘play victim’ dan menegakkan kesalahan dengan menyokong pihak yang bersalah,” tegasnya.

Mohd Syauqi seterusnya menyeru semua pihak melihat isu ini secara objektif demi mempertahankan simbol negara dan mengelakkan perpecahan kerana perbezaan tafsiran. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79