Sikap Pertahan Tindakan Kibarkan Bendera Terbalik Dipersoal – Mustaqim

KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Ketua Penerangan Pemuda UMNO Pahang, Mustaqim Zakaria mempersoal tindakan segelintir pihak yang bertindak mempertahan indvidu memasang bendera terbalik.

Menurut beliau, apatah lagi isu ini sering kali berulang menjelang sambutan Hari Kemerdekaan negara.

“Saya hairan, kenapa masih ada individu memilih untuk mempertahankan pihak yang tidak bertanggungjawab apabila Jalur Gemilang dikibarkan secara terbalik?

“Bukankah kita semua rakyat Malaysia yang sudah 68 tahun merdeka ? Perkara ini bukan isu baru, setiap kali bulan kemerdekaan, isu ini pasti timbul.

“Sepatutnya sebagai warga Malaysia yang sayangkan negara, perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Mustaqim yang juga Ketua Pemuda UMNO Paya Besar berkata ini kerana bendera Malaysia bukan sekadar kain berwarna, tetapi sebagai simbol kemerdekaan, kedaulatan dan maruah negara.

Katanya lagi mengibarkannya secara terbalik bukan satu gurauan, malah ia boleh dianggap sebagai penghinaan terhadap negara.

“Saya tidak boleh terima apabila ada yang lantang mengecam perbuatan ini, muncul pula pihak lain yang mempertahankannya. Kenapa sukar untuk kita bersuara senada mempertahankan kedaulatan negara ?

“Apa salahnya jika semua pemimpin, tanpa mengambil kira kepentingan politik, bersikap tegas mengecam perbuatan yang jelas tidak menghormati bendera Malaysia ?

“Persoalannya, sampai bila kita mahu berdepan dengan isu seperti ini ? Sampai bila kita mahu mengorbankan prinsip demi menjaga hati segelintir pihak? Cinta kepada negara, bagi saya, tidak boleh berkompromi!” tegas beliau.

Sebelum ini isu pemasangan bendera terbalik membangkitkan kemarahan rakyat apabila beberapa insiden berlaku antaranya di sekolah dan permis perniagaan.

Rentetan itu Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menggesa usul di Parlimen untuk menggubal undang-undang atau akta bagi mengenakan hukuman lebih berat terhadap individu yang memasang serta mengibarkan bendera negara secara terbalik.

Katanya ia bagi mengelak insiden Jalur Gemilang dipasang atau dikibar secara terbalik terus berulang pada masa akan datang. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79