Ahmad Zahid Cadang Modul PUSPEN Ditransformasi Kepada TVET

KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan agar modul pendidikan di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) ditransformasikan kepada modul Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO telah turun meninjau operasi dan kemudahan di PUSPEN Dengkil pada Selasa.

“Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Membanteras Dadah (JKMD) Kebangsaan, saya meletakkan misi memerangi dadah sebagai keutamaan kerana ia adalah musuh nombor satu negara yang mesti ditewaskan.

“Justeru, hari ini saya turun meninjau sendiri operasi dan kemudahan di PUSPEN Dengkil untuk melihat, mendengar secara dekat pengalaman serta cabaran yang dihadapi oleh para klien dalam proses pemulihan, di samping memahami usaha gigih para pegawai juga petugas di sini.

“Saya turut berpeluang melihat kebun ‘rock melon’, tanaman hiasan dan bengkel jahitan yang diusahakan oleh para klien, meninjau fasiliti asrama penginapan, serta merasmikan pusat gimnasium baharu yang peralatannya ditaja oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“Semua ini memperlihatkan dedikasi pelbagai pihak dalam memastikan setiap klien menerima rawatan, bimbingan dan peluang untuk kembali membina kehidupan yang lebih baik,” katanya.

Jelasnya, cadangan transformasi modul tersebut dibuat untuk membuka peluang kerjaya profesional kepada klien selepas tamat tempoh pemulihan.

“Saya juga telah mencadangkan supaya modul pendidikan di PUSPEN ditransformasikan kepada modul TVET untuk membuka peluang kerjaya profesional kepada para klien selepas tamat tempoh pemulihan.

“Latihan berasaskan konsep ‘high growth, high value’ ini akan membolehkan mereka menceburi bidang pekerjaan yang baik atau memulakan perniagaan, sekali gus menjamin masa depan lebih cerah,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau menyeru semua pihak untuk memberikan sokongan dan peluang kedua kepada klien-klien yang sedang menjalani proses pemulihan di PUSPEN.

“Bagi saya, proses pemulihan bukan sekadar membebaskan diri daripada ketagihan, tetapi juga memulihkan keyakinan, kemahiran dan hubungan dengan keluarga serta masyarakat. Marilah kita memberi sokongan dan peluang kedua kepada mereka, sementara kerajaan terus memperkukuh program pemulihan serta pencegahan.

“Harapan saya agar setiap klien yang menjalani pemulihan di PUSPEN menjadikan tempat ini sebagai rumah harapan yang memberi sinar kehidupan baharu dan akhirnya kembali berbakti kepada keluarga serta masyarakat,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79