Saarani, Exco Turun Padang Ke Langkap… Cari Penyelesaian Segera Isu Rakyat
KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan barisan Exco Kerajaan Negeri berbesar hati turun ke Langkap, Teluk Intan menyantuni rakyat, bagi mendengar sendiri suara mereka menerusi Program MESRA Hari Bertemu Pelanggan (HBP) Daerah Hilir Perak.
Saarani yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri memaklumkan menerusi program HBP itu sebanyak 224 aduan diterima dan merupakan aduan yang tertinggi sejak ia diwujudkan.
“Bukan sahaja Menteri Besar, malah barisan Exco, Ketua Jabatan dan Agensi kerajaan turut bersama bagi mencari penyelesaian segera terhadap isu-isu rakyat setempat.
“Matlamatnya kita jelas, kita mahu rakyat tahu yang kerajaan negeri sentiasa ada dan dekat dengan mereka,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Beliau turut memaklumkan kebanyakan aduan dapat selesaikan secara terus, namun beberapa isu memerlukan sedikit masa kerana melibatkan perkara kompleks seperti tanah dan seumpamanya.
Katanya turut dianjurkan Jualan Rahmah dan Jualan Sejahtera Rakyat bagi memudahkan rakyat mendapatkan barangan keperluan harian mereka pada harga berpatutan di samping meringkankan kos sara hidup.
“Saya turut merasmikan Jelajah Promosi Price Catcher sempena Bulan Kemerdekaan Peringkat Negeri Perak, satu inisiatif daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang bertujuan mempromosikan aplikasi ini kepada orang ramai sebagai platform untuk memudahkan perbandingan harga barangan.
“Semoga segala usaha kita ini dapat terus memberi manfaat kepada rakyat serta memperkukuhkan lagi hubungan antara kerajaan dan masyarakat bagi memastikan kesejahteraan seluruh warga Perak sentiasa dipelihara,” ujar beliau. – UMNO Online