Pembinaan WISE Hanya Bermula Selepas Semua Syarat Dipenuhi – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Syarikat konsesi Projek Lebuhraya West Ipoh Span Expressway (WISE) kini masih di peringkat menyempurnakan syarat duluan yang telah dipersetujui bersama, kata Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata, antara syarat duluan yang perlu dipenuhi oleh syarikat konsesi adalah membuktikan sumber pembiayaan lebuh raya.

“Sumber pembiayaan tersebut mengemukakan laporan environmental impact assessment (EIA), social impact assessment (SIA) dan traffic impact assessment (TIA), serta mendapatkan kelulusan daripada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang berkaitan.

“Perjanjian Konsesi hanya berkuat kuasa setelah syarikat berjaya memenuhi syarat duluan perjanjian konsesi tersebut. Kos pengambilan tanah yang terlibat di sepanjang jajaran lebuh raya ditanggung sepenuhnya oleh syarikat konsesi.

“Proses pengambilan tanah yang berkenaan hanya akan dilaksanakan setelah perjanjian konsesi berkuat kuasa. Syarikat konsesi perlu melalui proses pengambilan tanah di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 (APT 1960) iaitu melalui pewartaan di bawah Seksyen empat (4) bagi tujuan pembekuan koridor. Pewartaan Seksyen lapan (8) APT 1960 akan dilaksanakan bagi tujuan pengambilan tanah untuk pembinaan projek lebuh raya,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan dari Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid yang mohon penjelasan berhubung kelewatan penyediaan laporan tinjauan tanah bagi pembinaan Lebuhraya West Ipoh Span Expressway (WISE) dan apakah langkah Kementerian untuk memastikan proses pengambilan tanah serta kerjakerja permulaan pembinaan lebuh raya WISE boleh diteruskan tanpa sebarang kelewatan.

Mengulas lanjut kata Ahli Parlimen Pontian, Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) akan bekerjasama rapat dengan syarikat konsesi bagi memudahkan cara proses pengambilan tanah bagi projek Lebuhraya Wawasan Integrasi Selatan (WISE).

“Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) akan membantu memudah cara urusan syarikat konsesi dalam proses pengambilan tanah dengan pihak Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Negeri Perak (JKTPG Perak).

“Sebaik sahaja selesai proses pengambilan tanah, pihak konsesi boleh memulakan kerja-kerja pembinaan. KKR dan LLM akan memantau pelaksanaan pembangunan Lebuhraya WISE dengan teliti agar projek lebuh raya ini dapat disiapkan sebagaimana yang dirancang,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79