OSH Coordinator Bantu Majikan Patuhi Undang-Undang Keselamatan Pekerjaan – Abdul Rahman
KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Tujuan utama pewujudan Seksyen 29A ini adalah untuk memastikan setiap tempat kerja mempunyai seorang individu yang bertanggungjawab menyelaras hal ehwal keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP).
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, OSH Coordinator berperanan membantu majikan dalam memastikan pematuhan terhadap kehendak perundangan berkaitan KKP serta menyelaras pelaksanaan langkah-langkah keselamatan di tempat kerja masing-masing.
“Selaras dengan peruntukan Seksyen 29A Akta 514, pelantikan OSH Coordinator tidak memerlukan pewujudan jawatan tetap atau khusus, sebaliknya hanya melibatkan penetapan tanggungjawab kepada seorang pekerja sedia ada.
“Kerajaan berpandangan bahawa keperluan tersebut dapat dipenuhi tanpa mewujudkan perjawatan khususnya bagi OSH Coordinator dalam kalangan penjawat awam,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan dari Ahli Parlimen Padang Besar, Rushdan Rusmi yang meminta Menteri Sumber Manusia menyatakan adakah Kementerian mempunyai cadangan untuk mewujudkan perjawatan OSH Coordinator di sektor awam selaras dengan perubahan Akta OSH yang telah ditambahbaik pada tahun 2022.
Mengulas lanjut, Abdul Rahman yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO menjawab pertanyaan tambahan dari Rushan yang menyatakan langkah meningkatkan jumlah Penyelaras KKP di sektor awam.
“Bagi meningkatkan pematuhan peruntukan Seksyen 29A Akta 514 di sektor awam, Kementerian menggesa setiap jabatan dan agensi kerajaan persekutuan dan negeri khususnya yang melibatkan pejabat cawangan atau kecil yang mempunyai kakitangan lima (5) orang ke atas untuk melantik atau mengenal pasti pegawai sedia ada untuk menjalankan peranan sebagai OSH Coordinator.
“Kementerian melalui Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) bersedia untuk memberikan Latihan kepada penjawat awam yang dikenalpasti tadi untuk dilatih sebagai OSH Coordinator,” katanya lagi.
Tambah Ahli Parlimen Lipis lagi, jumlah penjawat awam yang telah dilatih oleh pihak NIOSH bagi kursus OSH Coordinator dalam tempoh lima (5) tahun (2021-2025) seramai 4,196 peserta.
“Pada tahun 2021: seramai 536 peserta; tahun 2022: 1751 peserta; tahun 2023: 1,013 peserta; tahun 2024: 666 peserta dan tahun 2025 (sehingga Jun) 230 peserta,” ujarnya. – UMNO Online