KPT Komited Perangi Buli Fizikal Dan Siber Di Kampus – Dr Zambry
KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memandang serius isu buli sama ada di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) mahupun Swasta (IPTS).
Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata kes berlaku dalam bentuk buli fizikal dan buli siber (cyberbullying) yang boleh berpunca daripada faktor sosial, psikologi, persekitaran kampus, pengaruh media sosial dan kurangnya pengawasan daripada ibu bapa.
Ujarnya, statistik untuk 11 tahun iaitu dari 2014 hingga 2025 mencatatkan sebanyak 31 kes buli telah dilaporkan berlaku di lapan buah universiti awam dan tindakan telah diambil di peringkat pengurusan universiti masing-masing.
“Dalam konteks Universiti Awam (UA), sekiranya pelajar terlibat dalam kes buli, mereka boleh dikenakan tindakan tatatertib di bawah Peraturan 3(1)(a)(ii), Kaedah-kaedah (Tatatertib Pelajar) yang telah diseragamkan melalui pindaan yang dibuat pada tahun 2024.
“Kaedah-kaedah ini juga memperuntukkan hukuman berdasarkan tahap keseriusan kesalahan yang dilakukan. Seseorang pelajar yang didapati bersalah atas apa-apa kesalahan buli di bawah Kaedah-kaedah ini boleh dikenakan satu atau mana-mana gabungan dua atau lebih hukuman yang sesuai.
“Ia meliputi amaran; khidmat masyarakat mengikut peraturan-peraturan yang dibuat oleh Lembaga yang tidak melebihi 24 jam; denda tidak melebihi lima ratus ringgit; dilarang daripada berada di dalam mana-mana bahagian kampus bagi suatu tempoh sebagaimana yang ditentukan oleh pihak berkuasa tatatertib; dibuang atau dilarang untuk tinggal di dalam desasiswa; digantung daripada menjadi seorang pelajar universiti bagi suatu tempoh atau dibuang daripada universiti,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan dari Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden yang meminta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan apakah langkah yang telah diambil oleh Kementerian bagi mengekang kejadian buli di Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta.
Ujar Dr Zambry yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, bagi Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) pula, Seksyen 33 Akta IPTS 1996 [Akta 555] memperuntukkan secara jelas tanggungjawab Ketua Eksekutif IPTS dalam menjalankan penyeliaan am termasuk berkaitan kebajikan dan disiplin di institusi berkenaan meliputi usaha pencegahan dan pengendalian kes buli secara menyeluruh.
“KPT juga ingin menegaskan bahawa pihak Kementerian tidak akan bertolak ansur dengan sebarang bentuk buli atau kekerasan yang berlaku di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) di bawah seliaan Kementerian ini.
“KPT tidak akan melindungi pelaku serta akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berwajib untuk menjalankan siasatan secara telus dan profesional bagi sebarang kes buli yang dilaporkan berlaku di IPT. KPT juga ingin menyatakan komitmen untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan pelajar di kampus sentiasa terpelihara,” jelasnya.
Katanya, di samping meneliti kaedah dan amalan terbaik serta mengkaji semula dasar sedia ada untuk menambah baik prosedur serta mekanisme bagi menangani isu disiplin pelajar khususnya gejala buli dengan lebih cekap.
“KPT turut mengambil beberapa langkah untuk mengatasi gejala ini serta mempertingkatkan keselamatan dan kesejahteraan pelajar di semua universiti awam secara menyeluruh.
“Penerapan budaya zero tolerance terhadap buli; mekanisme sistem pelaporan kes buli; penambahbaikan sistem keselamatan kampus melalui; pemasangan cctv yang lebih meluas; pelaksanaan program kesedaran dan pendidikan buli.
“Penekanan terhadap pembinaan sahsiah, etika dan latihan kepimpinan bagi menyokong kemenjadian mahasiswa yang lebih bersifat positif. Standard operating procedure (sop) dan pembangunan garis panduan pengurusan salah laku buli,” ujarnya lagi. – UMNO Online