Khaidirah Harap Parti Angkat Lebih Ramai Pemimpin Wanita
KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim, Datuk Khaidirah Abu Zahar berharap agar UMNO/Barisan Nasional (BN) mengangkat dan memberi peluang kepada lebih ramai pemimpin wanita di dalam parti.
Ini kerana katanya, jurang perbezaan pemimpin lelaki dan wanita adalah amat ketara pada ketika ini, jauh daripada angka kuota 30 peratus yang diperjuangkan sebelum ini.
“Alhamdulilah, hampir masuk tahun keempat saya menjadi wakil rakyat untuk menjaga kawasan DUN Rim di Melaka. Kami,wakil-wakil rakyat wanita telah diberikan peluang untuk bertemu Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi mengutarakan beberapa isu, pandangan dan cadangan dari segi pentadbiran termasuk di kawasan masing-masing.
“Kita faham bahawa nisbah wakil rakyat lelaki dan perempuan ini memang jauh berbeza di Malaysia secara umumnya. Kita belum dapat mencapai 30 peratus secara keseluruhan. Hari ini kita dapat lihat bahawa BN hanya ada 19 orang sahaja wakil rakyat dari seluruh negara.
“19 orang ini dari semua peringkat termasuk DUN, Parlimen dan juga senator. Kalau diikutkan, kita ini jauh lagi daripada 30 peratus secara keseluruhannya. Jadi, kita berharap agar peningkatan sepatutnya berlaku pada masa akan datang,” katanya kepada UMNO Online.
Beliau yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Jasin berpandangan bahawa pemimpin daripada sayap parti juga perlu dipertimbangkan dan diberikan peluang sebagai wakil rakyat pada masa akan datang.
“Kita tidak mahu angka ini hanya kekal 19 orang sahaja. Kalau boleh, berikan ruang dan peluang yang lebih baik kepada pemimpin-pemimpin wanita di dalam parti, tidak kisahlah apa pun jawatan mereka.
“Ada beberapa isu yang telah kita bangkitkan (semasa perjumpaan) dan alhamdulilah Datuk Seri Presiden mendengar cadangan, pendapat disuarakan oleh barisan wakil-wakil rakyat wanita. Alhamdulilah, terima kasih di atas peluang yang telah diberikan.
“Ini menjadikan kita lebih bersedia dengan pesanan dan mesej yang dimaklumkan terutamanya mengenai kedudukan sebagai wakil rakyat,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau turut berharap agar parti memberikan kepercayaan yang lebih besar kepada para pemimpin wanita, bukan hanya sekadar menjadi ‘tulang belakang’.
“Memang baik apabila kita mengangkat pemimpin wanita ini sebagai ‘tulang belakang’ parti. Tetapi, saya rasa dah lama kita ini bertindak sebagai tulang belakang maka kalau boleh, kita nak jadi ‘tulang depan’ pula. Kalau boleh kita mahu kepercayaan diberikan bukan setakat itu sahaja dan diberikan kedudukan yang lebih baik.
“Macam saya katakan sebelum ini, nisbah wakil rakyat perempuan dengan lelaki di Malaysia semua parti pun sebenarnya masih kecil. Jadi, kita harapkan BN melalui pucuk pimpinan boleh melaksanakannya dengan baik.
“Maksudnya di sini, jumlah wakil rakyat wanita kita perlu bertambah. Kalau boleh, kita nak jadi sebuah parti ataupun kerajaan yang memberi ruang lebih baik dan terkedepan dalam isu memperkasa wanita di peringkat penggubalan polisi ataupun dasar ini,” katanya lagi.
Untuk rekod, satu perjumpaan wakil-wakil rakyat wanita telah diadakan bersama Presiden UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Khamis.
Perjumpaan tersebut berkisarkan perbincangan kepada masalah yang dihadapi di peringkat organisasi ataupun kawasan ditadbir. – UMNO Online
Oleh: Nuralyaa Izzati Azman