Kematian Pelatih PALAPES: Zambry Ziarah Keluarga Allahyarham Syamsul

KUALA LUMPUR, 12 Ogos – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berbesar hati menziarahi keluarga Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin yang meninggal dunia ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Inokulasi Tempur, Pusat Latihan Peperangan Darat (PULADA), Ulu Tiram dua minggu lalu

Kunjungan Ahli Majlis kerja Tertinggi UMNO itu disambut oleh ibu Allahyarham, Puan Ummu Haiman Bee Daulatgun, di kediaman mereka di Taman Pelangi, Semenyih,

“Saya sendiri berpeluang meluangkan masa menziarahi ahli keluarga Allahyarham. Tiba di perkarangan rumah, saya disambut oleh ibu Allahyarham, Puan Ummu Haiman Bee Daulatgun, seorang pendidik yang masih lagi sugul dengan kejadian yang berlaku kepada anak sulung beliau,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Turut hadir bersama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Datuk Johan Abdul Aziz, serta peguam keluarga, Datuk Naran Singh.

Dalam pertemuan tersebut, pihak keluarga diberikan gambaran awal berhubung insiden tersebut.

Katanya pihak Kementerian Pendidikan Tinggi dan UTM akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa serta jawatankuasa ini bagi memastikan siasatan dijalankan secara telus, menyeluruh, dan berintegriti.

Pada masa sama Dr Zambry turut menegaskan bahawa kementerian tidak akan melindungi mana-mana pihak sekiranya terbukti wujud unsur salah laku atau kecuaian.

“Saya memaklumkan bahawa Kementerian Pertahanan telah menubuhkan sebuah Jawatankuasa Penyiasatan Khas dengan penglibatan Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Kesihatan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian Allahyarham.

“Saya telah mengarahkan UTM untuk menyediakan bantuan psikologi kepada keluarga Allahyarham sebagai sokongan moral dan emosi,” ujar beliau.

Bagi meringankan sedikit beban keluarga, Dr Zambry turut menyampaikan sumbangan daripada KPT melalui Yayasan Perkasa Siswa (YPS) kepada ibu Allahyarham. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79