Kedinamikan Perlu Jadi Tradisi Baharu UMNO – Noor Azleen

PASIR GUDANG, 12 Ogos – Kedinamikan politik pada masa kini adalah amat penting dan ia perlu menjadi tradisi baharu UMNO untuk memastikan parti ini kekal relevan serta mencapai kemenangan pada masa akan datang.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor, Noor Azleen Ambros ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang menzahirkan rasa syukur apabila Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani telah hadir untuk merasmikan mesyuarat bahagian tersebut pada Sabtu.

“Alhamdulilah, kita telah didatangi oleh seorang lagi Naib Presiden, setelah tujuh tahun tidak dikunjungi oleh pemimpin utama parti untuk merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang.

“Alhamdulilah Datuk Seri Johari Abdul Ghani telah hadir dan sudah tentulah banyak perkara yang telah dikongsikan beliau. Datuk Seri Johari Ghani ni ada persamaannya dengan Pasir Gudang… beliau datang dari kawasan bandar, sama seperti kami.

“Beliau telah buktikan bahawa tidak ada yang mustahil… kalau kawasan itu pernah kalah, tak mustahil untuk UMNO rampas kembali dan beliau telah buktikan perkara tersebut.

“Dalam ucapan perasmian, beliau telah pun berkongsi tentang resepi, formula dan kaedah kalau kita di Pasir Gudang ini berhasrat untuk mengembalikannya kepada UMNO/Barisan Nasional (BN). Jadi, kita hargai perkongsian tersebut dan sudah tentu ia menjadi satu iktibar serta perkongsian yang sangat bermakna untuk kita di Pasir Gudang,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang juga Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang berkata, UMNO perlu lebih terbuka untuk menerima penyertaan anak-anak muda dalam usaha menarik sokongan rakyat.

“Perkongsian Datuk Seri Johari Ghani juga adalah satu pemikiran baharu, ia perlu diterima secara terbuka oleh semua pimpinan UMNO khususnya dalam nak berdepan dengan cabaran, ekspektasi, kemahuan dan kehendak pengundi yang sentiasa berubah-ubah.

“Jadi, saya ambil ia sebagai satu perkara yang seharusnya dengan minda dan hati yang terbuka untuk meneliti serta menghadam, menerimanya sebagai satu cabaran perlu disahut.

“Sudah tentulah ia juga perlu diterjemahkan dalam bentuk tindakan untuk kita menang semula. Kita mengalu-alukan dan merasakan ia adalah satu perkara yang perlu dimanfaatkan. Tak rugi pun kalau kita nak cuba dan juga manfaatkan kaedah yang telah dikongsikan,” katanya lagi.

Ujarnya, UMNO perlu menyesuaikan parti seiring dengan kehendak zaman dan demografi pengundi yang berubah setiap kali pilihan raya.

“Apa yang beliau katakan itu memang betul. Setiap lima tahun pengundi tak pegun, sentiasa berubah-ubah dan ia bukan satu cabaran yang mudah… bukan sahaja kepada UMNO tetapi mana-mana parti politik pun, kerana kemahuan dan juga kehendak pengundi memang tidak statik.

“Jadi, kedinamikan kita sebagai sebuah parti politik itu sangat-sangat penting. Sudah tentulah itu mungkin antara amalan atau tradisi baharu politik yang perlu UMNO terap dan amalkan untuk kita terus kekal relevan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau beranggapan bahawa mesyuarat perwakilan UMNO bahagian-bahagian seharusnya dijadikan panduan untuk parti terus mengorak langkah pada masa hadapan.

“Sudah tentulah perjumpaan dan mesyuarat seperti ini seharusnya dijadikan panduan serta iktibar untuk kita mengorak langkah tahun hadapan. Lebih-lebih lagi dalam nak berhadapan pilihan raya yang saya rasa kurang dua ataupun tiga tahun kerana kita dah berada di pertengahan penggal.

“Jadi, itu semua wajar dijadikan iktibar dan pedoman untuk kita melakar pembaharuan ataupun kemenangan yang lebih besar untuk UMNO pada masa akan datang,” katanya lagi.

Untuk rekod, Johari yang juga Menteri Perladangan dan Komiditi telah hadir untuk merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Pasir Gudang baru-baru ini.

Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang merangkap Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor merangkap Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Halim Suleiman dan para pemimpin bahagian empat peringkat. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79