Justice For Zara: Labuan Hantar Isyarat Tegas, Keadilan Mesti Ditegakkan
LABUAN, 12 Ogos – Lebih 3,000 warga Labuan telah mengadakan himpunan secara aman bertemakan Justice For Zara, sebagai tanda solidariti dan tuntutan keadilan untuk arwah adik Zara Qairina pada Ahad.
Himpunan tersebut dianjurkan oleh Kelab Wanita Sejahtera dengan sokongan penuh Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO merangkap Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan, selaku Penaung kelab, bersama Puan Niswati Tarji selaku Pengerusi.
Menurut Mohd Rafi, pemergian tragis arwah bukan sahaja meruntun jiwa keluarga, malah turut menyentuh hati seluruh rakyat Malaysia.
Beliau menegaskan bahawa suara yang bergema di himpunan ini adalah suara rakyat yang mendesak kerajaan dan pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan yang telus, menyeluruh, dan adil demi menegakkan kebenaran.
“Labuan menghantar mesej yang jelas iaitu kami tidak akan berdiam diri apabila keadilan dipertaruhkan,” tegasnya.
Himpunan ini turut dihadiri oleh masyarakat daripada pelbagai latar belakang tanpa mengira agama, bangsa atau fahaman politik.
Turut hadir ialah pemimpin masyarakat, wakil-wakil NGO, golongan belia, wanita, serta veteran, membuktikan bahawa Labuan adalah sebuah komuniti yang bersatu padu, berjiwa besar, dan harmoni dalam apa jua keadaan.
Terdahulu proses bedah siasat jenazah Allahyarham Zara Qairina yang dibuat di Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE), Kota Kinabalu, Sabah, berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.
Sebaik selesai bedah siasat selama lapan jam, jenazah dikebumikan semula yang mengambil masa kira-kira 30 minit dan selesai sekitar jam 1 pagi.
Pelajar berusia 13 tahun itu ditemui tidak sedarkan diri di SMKA Tun Mustapha, Papar pada 16 Julai lalu dan disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth. – UMNO Online