Shamsul Anuar Buat Laporan Polis, MCMC Ke Atas Pemfitnah

KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah membuat laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) kepada pihak yang telah memfitnahnya berkaitan isu pelajar Zara Qairina Mahathir.

“Perkara ini jelas suatu fitnah. Saya tidak pernah bercakap dan mengulas apa-apa berkaitan Kes Allahyarhamah Adik Zara Qairina.

“Ia jelas suatu tindakan jahat dan tidak bertanggungjawab,” tegas Ahli Parlimen Lenggong itu dalam satu hantaran di Facebook.

Berdasarkan carian di platform TikTok, pengguna dengan nama Hanz @hanzsbh masih memaparkan grafik fitnah tersebut dengan tajuk berita ‘SAYA TIMBALAN MENTERI DARI UMNO BN UNTUK APA SURUH PERCEPAT SELESAI KES ZARA’ berserta wajah Shamsul Anuar.

Sehingga artikel ini disiar, berita tersebut di dalam masih aktif di akaun TikTok Hanz.

Untuk rekod, Zara Qairina pelajar Tingkatan 1 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan, Papar, ditemui tidak sedarkan diri dekat longkang asrama sekolah pada pukul 3 pagi, 16 Julai lalu dan mangsa kemudian disahkan meninggal dunia pada keesokannya.

Kes tersebut mendapat liputan yang hangat di seluruh negara hingga terpaksa dilakukan semula bedah siasat di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu selepas jenazahnya dikebumikan pada 17 Julai lalu di Kampung Kalamauh Mesapol, Sipitang. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79