Semarak Kemerdekaan Perkukuh Semangat Patriotisme – Haslinda
KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Exco Wanita UMNO Malaysia, Haslinda Salleh berkata Wanita UMNO Johor akan menganjurkan Program Semarak Kemerdekaan di peringkat negeri sebagai usaha memperkukuh semangat patriotisme dalam kalangan rakyat.
Haslinda yang juga Ketua Penerangan Wanita UMNO Johor merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang berkata, program tersebut dapat memperkukuh semangat patriotisme dalam kalangan rakyat menjelang sambutan Hari Kebangsaan ke-68.
Katanya, program ini adalah manifestasi komitmen parti dalam mendidik ahli-ahlinya agar menjadi warganegara yang bukan sahaja aktif dalam politik, tetapi juga tinggi semangat cintakan tanah air.
“Kita akan mengadakan program Semarak Kemerdekaan di peringkat negeri supaya dilihat sebagai ahli parti yang sangat patriotik serta cintakan tanah air. Ia perlu diterapkan kepada setiap ahli wanita UMNO dan rakyat Johor.
“Ini menunjukkan komitmen Wanita UMNO Malaysia yang ingin menerapkan nilai-nilai cintakan negara kepada setiap rakyat, tidak kira jantina, pelbagai bangsa, etnik dan juga di semua peringkat umur. Tidak kira kanak-kanak, remaja, dewasa mahu pun warga emas.
“Pendekatan ini dapat menyemarakkan semula semangat kemerdekaan dalam kalangan rakyat Johor menjelang sambutan Hari Kebangsaan ke-68 tahun ini,” katanya kepada UMNO Online, di sini.
Tambah Ketua Wanita UMNO Bahagian Labis itu, usaha ini bukan sahaja mencerminkan semangat patriotik dalam kalangan rakyat, malah dapat menyemarakkan lagi rasa sayang terhadap tanah air yang telah merdeka.
“Saya menyeru kepada semua, marilah kita sama-sama kibarkan Jalur Gemilang ini di semua peringkat, premis kediaman, kedai-kedai, sekolah-sekolah, pejabat-pejabat kerajaan, swasta dan yang ada di negara ini.
“Ini menunjukkan bahawa kita sememangnya cintakan tanah air dan tolak ke tepi mereka yang sering kali mengkritik kerajaan. Inilah negara Malaysia yang perlu dijunjung serta dijaga, tidak kira siapa,” katanya lagi.
Hari Kemerdekaan bukan sekadar sambutan hari biasa tetapi ia merupakan lambang, tunjang dan cara kita sebagai rakyat Malaysia yang saling hormat-menghormati, bersatu padu menunjukkan rasa kasih dan cinta pada tanah air walaupun berbeza agama, kaum, adat dan budaya.
Tanggal 31 Ogos merupakan tarikh keramat bagi negara Malaysia yang menyambut hari kemerdekaan. – UMNO Online