Puteri UMNO Terus Santuni Komuniti, Sentiasa Peka Denyut Nadi Rakyat
KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Ketua Pergerakan Puteri UMNO Melaka, Nurul Amirah Mohd Yusof menyifatkan ulang tahun Puteri UMNO ke-24 kali ini membawa manifestasi tersendiri sebagai simbol kekuatan, keberanian dan kesungguhan wanita muda dalam membawa obor perjuangan agama, bangsa dan negara.
Beliau yang juga Ketua Puteri UMNO Bahagian Masjid Tanah berharap ia terus disemat dalam membawa semangat perjuangan.
“Kita raikan 24 tahun Puteri UMNO, simbol kekuatan, keberanian dan semangat wanita muda dalam perjuangan agama, bangsa dan negara.
“Sebagai Ketua Puteri UMNO Negeri Melaka, saya amat berbangga dengan seluruh ahli Puteri yang sentiasa komited, aktif, dan berjiwa besar dalam menjayakan setiap gerak kerja dan misi perjuangan.
“Puteri bukan hanya pelapis, kita adalah peneraju masa depan! Teruskan langkah, kekalkan semangat, dan jangan pernah gentar membawa suara wanita muda ke hadapan,” katanya menerusi satu kenyataan.
Sementara itu Ketua Pergerakan Puteri UMNO Pulau Pinang, Ameera Nadia Shafiee berpandangan sayap parti ini sebagai platform penting dalam mengangkat suara wanita muda bagi membawa perjuangan isu rakyat.
Beliau yang juga Ketua Puteri UMNO Bahagian Nibong Tebal berkata ini kerana Puteri UMNO sejak tertubuhnya pada 24 tahun lalu telah mengorak langkah dengan penuh pengalaman, cabaran, kejayaan dan pengorbanan.
“Melalui peranan dalam Puteri UMNO, lahir kesedaran tentang pentingnya hidup bermasyarakat memahami keperluan setempat, menyantuni komuniti, dan sentiasa peka terhadap denyut nadi rakyat.
“Platform ini membuka ruang untuk wanita muda tampil sebagai pemimpin yang cakna, berani dan berprinsip. Kepimpinan yang sebenar bukan sekadar memegang jawatan, tetapi terletak pada keupayaan untuk berbakti walau sekecil mana sekalipun peranan tersebut,” katanya. – UMNO Online