Prihatin Berkaitan Kebajikan Guru Takmir, Imam… Adnan Mohon Penjelasan
KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Kebimbangan berkenaan kos sara hidup yang semakin meningkat, mendorong Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan bertanya komitmen kerajaan dalam membantu guru takmir dan imam.
Beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Pilah berkata ini kerana mereka tidak mendapat gaji tetap sebaiknya hanya memperoleh elaun bulanan.
“Umum mengetahui bahawa bayaran kepada guru takmir dan imam ini sepenuhnya yang dinyatakan bukanlah berbentuk gaji.
“Namun itu bagaimanakah kerajaan memastikan kadar elaun guru takmir, imam ini kekal relevan dengan kos sehari hidup sekarang, kos sehari hidup semasa, khususnya mengambil kira perbezaan tahap ekonomi antara kawasan bandar dan luar bandar serta kadar inflasi.
“…kerana ia yang menjejaskan kemampuan mereka untuk menampung keperluan asas agar peranan mereka memperkasa ilmu dan kefahaman agama tidak terjejas,” katanya.
Adnan berkata demikian sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Menjawab kepada persoalan tersebut, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata pihaknya pada setiap tahun akan menyemak dan menyampaikan isu ini kepada kerajaan.
Namun katanya ia bergantung kepada kemampuan fiskal kerajaan.
“Dalam masa yang sama, kita juga memperkukuhkan lagi guru takmir, guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) dan imam ini dalam bentuk-bentuk yang lain. Sebagai contoh, kita memperkukuhkan lagi kemahiran mereka supaya melalui kemahiran tersebut, mereka juga boleh mendapat pendapatan yang lain.
“Berkenaan dengan kos sehari hidup ini, kita ambil maklum. Dalam konteks guru KAFA sebagai contoh, kerajaan memberikan bantuan bulanan sebanyak RM1,100 bersama dengan Perkeso dan juga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP),” ujar beliau.
Bagaimanapun katanya terdapat beberapa negeri-negeri, yang turut sama menambah elaun guru-guru KAFA ini mengikut kemampuan negeri.
“Sebagai contoh, Wilayah Persekutuan menambah sebanyak RM1,000 dan negeri Pulau Pinang RM400 dan beberapa negeri yang lain.
“Ini menunjukkan bahawa kerjasama di antara negeri dan juga kerajaan itu akan dapat memperkukuhkan lagi berkenaan dengan taraf hidup dan juga pendapatan guru KAFA, guru takmir dan juga imam,” ujar beliau. – UMNO Online