Jom Healing Bersama Anak Muda: MB Perak Kongsi Pelan, Hala Tuju Negeri
KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata sesi Jelajah Orang Muda (Jom) Healing merupakan satu usaha kerajaan negeri merapatkan lagi hubungan bersama golongan tersebut.
Ujarnya, sempena program Turun Padang Menteri Besar di Daerah Hilir Perak di Teluk Intan pada Ahad, ia diisi dengan pelbagai aktiviti di samping berkongsi cerita, mendengar pandangan dan idea-idea segar daripada generasi pelapis negeri.
“Kita percaya dengan usaha dan program sebegini dapat mendekatkan lagi hubungan kerajaan negeri dengan golongan muda. Kerana kita mahu anak-anak muda tahu, kerajaan negeri sentiasa terbuka mendengar dan meraikan pandangan deme (mereka).
“Sambil-sambil ngopi (minum), saya turut kongsikan pelan hala tuju negeri, Perak Sejahtera 2030 serta kejayaan-kejayaan Negeri Perak dan peluang-peluang yang sedang dibuka untuk anak muda.
“Termasuklah platform untuk pembangunan bakat, tingkatkan skill dan kemahiran, peluang pekerjaan, hingga ke sokongan kepada keusahawanan, inovasi dan kreativiti,” kata Saarani yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak dalam satu catatan di Facebook rasminya.
Saarani juga berbesar hati kerana dapat bertemu dan mengucapkan terima kasih kepada anak-anak muda di samping berharap akan ada lagi kesinambungan pertemuan tersebut.
“Great time, great moment with great people. Terima kasih anak muda Teluk Intan. Insya-Allah ada rezeki kita bersua lagi,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan itu.
Selanjutnya dalam statusnya, Saarani turut bersyukur kerana dapat bersama masyarakat kawasan itu dalam majlis ilmu di Masjid Ibnu Sina, Taman Cicely, Teluk Intan malam tadi.
“Kuliah agama ini bukan sekadar medan untuk kita menimba ilmu agama, tetapi juga menjadi wadah untuk mengeratkan silaturahim dan menyemai rasa kasih sayang sesama kita. Terima kasih buat semua muslimin dan muslimat yang hadir mengimarahkan majlis.
“Moga segala apa yang dikongsikan malam ini dapat menjadi panduan hidup, menguatkan lagi iman dan ketakwaan kita kepada Allah SWT serta membentuk peribadi yang lebih baik untuk kita semua. Insya-Allah,” tambahnya. – UMNO ONLINE