Hormat Proses Undang-Undang: Himpunan Maruah Tanah Airku Ditangguh
KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Himpunan Maruah Tanah Airku yang sepatutnya berlangsung pada Isnin telah ditangguhkan, kata Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Hafiz Ariffin.
Menerusi satu kenyataan beliau memaklumkan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menyambut baik tindakan Ketua Polis Pulau Pinang kerana telah menahan individu yang memasang bendera secara terbalik.
“Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menyambut baik pengumuman Ketua Polis Pulau Pinang, bahawa individu yang memasang bendera secara terbalik telah ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 5, Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963, dan Seksyen 14, Akta Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.
“Sehubungan itu, bagi menghormati proses dan tindakan undang-undang yang telah diambil, Himpunan Maruah Tanah Airku, ditangguhkan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau turut menafikan mesej permohonan maaf penangguhan himpunan tersebut dan menegaskan akan berpegang teguh kepada keputusan yang dibuat terhadap isu ini tanpa sebarang rasa apologetik.
“Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia menafikan mesej permohonan maaf penangguhan himpunan seperti yang tersiar di media, kerana ia bukan kenyataan rasmi.
“Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia tetap tegas dan berpegang teguh kepada keputusan yang dibuat terhadap isu ini tanpa sebarang rasa apologetik,” katanya lagi.
Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin sebelum ini mengesahkan bahawa individu berkenaan ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.
Himpunan Maruah Tanah Airku dijadualkan berlangsung di Kepala Batas, Pulau Pinang hari ini dengan tujuan menghimpunkan ahli dan penyokong parti sebagai solidariti mempertahankan maruah negara, khususnya melibatkan penghinaan terhadap Jalur Gemilang.
Polis Pulau Pinang sebelum ini memaklumkan, siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian dan memastikan tindakan sewajarnya diambil mengikut peruntukan undang-undang. – UMNO Online