Fokus Pulihkan Kekuatan UMNO… Biarkan Mereka Tinggalkan Parti
KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Arman Azha Abu Hanifah menegaskan bahawa keutamaan parti adalah memperkukuh kekuatan dalaman serta membina semula keyakinan rakyat terhadap UMNO, bukannya memikirkan tindakan segelintir pihak yang memilih untuk meninggalkan parti.
Menurut beliau, UMNO perlu terus bergerak ke hadapan tanpa terikat dengan mereka yang mengambil keputusan keluar parti atas kepentingan politik peribadi.
“Lebih baik kita memikirkan kekuatan parti kita, terus membina semula keyakinan rakyat kepada UMNO daripada memikirkan golongan-golongan yang nak memikirkan parti mungkin disebabkan kepentingan politik mereka dan biarlah mereka meninggalkan parti.
“Jadi… apabila beliau menyatakan untuk meninggalkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk pergi ‘join’ PKR ikut dialah… lagipun dia bukannya pemimpin yang berasal dari akar umbi.
“Maka, usaha perlu dilakukan untuk menguatkan parti serta membina semula keyakinan rakyat daripada memikirkan golongan yang mempunyai kepentingan politik,” katanya kepada UMNO Online.
Mengulas lanjut kata Arman, sudah pasti ia mengguris perasaan pimpinan dalam parti namun sebagai sebuah parti yang berpegang kepada prinsip setiakawan dan hormat-menghormati, serahkan sahaja ia kepada pimpinan tertinggi untuk dirungkaikan.
“Biarlah pimpinan negara terutamanya Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tentang apa yang berlaku sebab kalau di pimpinan bawah ini terikut dengan naratif yang dimainkan ia tidak sihat dan akhirnya hanya akan merugikan Kerajaan Madani.
“Sudah tentu ia terguris juga perasaan pimpinan UMNO dan BN… tapi memikirkan dari konteks yang berbeza, saya berpegang kepada prinsip dinamik dan progresif,” ujarnya.
Terdahulu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Indusri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 30 Mei lalu mengumumkan peletakan jawatannya dalam UMNO dan menyatakan niat untuk menyertai PKR.
Pada 26 Julai lalu, Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh yang mengesahkan permohonan Tengku Zafrul diluluskan Majlis Pimpinan Pusat parti itu dalam mesyuarat. – UMNO Online