Cadangan Ahli Dewan Belia Jadi Input Bajet 2026 Negeri Melaka – Ab Rauf
AYER KEROH, 11 Ogos – Setiap agenda dan cadangan yang dikemukakan pada Persidangan Dewan Undangan Belia Negeri Melaka Tahun 2025 akan dijadikan sebahagian daripada perancangan Bajet 2026 Negeri Melaka.
Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, kerajaan negeri optimis memastikan setiap cadangan dan resolusi yang lahir daripada persidangan itu diberi perhatian dengan tindakan susulan yang berkesan.
Katanya, agenda dan cadangan yang dibawa amat penting dalam memastikan aspirasi belia dapat diterjemah ke dalam bentuk dasar dan program yang memberi impak langsung kepada belia.
“Justeru, tahun ini, saya berharap tumpuan dapat diperluaskan kepada
skop yang lebih besar, termasuk pembangunan modal insan, pengukuhan ekonomi belia, penguasaan teknologi serta pemerkasaan kepimpinan belia.
“Saya harap persidangan yang berlangsung selama tiga hari ini menjadi wadah penting untuk membincangkan isu semasa, cabaran serta aspirasi generasi muda Melaka berkait dengan semua portfolio exco,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perasmian Persidangan Pertama, Penggal Pertama Dewan Undangan Belia Negeri Melaka Tahun 2025 di Anjung Makmur, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Azhar Arshad; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman serta barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri.
Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Belia Melaka Datuk Khaidhirah Abu Zahar; Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman serta kenamaan lain.
Pada persidangan terbabit seramai 34 Ahli Dewan Belia termasuk enam lantikan Ketua Menteri telah mengangkat sumpah jawatan.
Dalam pada itu, Ab Rauf menzahirkan harapan agar persidangan itu mampu menyuntik inspirasi dan memperkukuh semangat kerjasama di antara semua Ahli Dewan Belia.
“Saya harap semula ahli dewan terdiri daripada belia dan barisan kepimpinan Melaka dapat bergerak seiring memacu pembangunan negeri lebih unggul,” katanya. – MelakaHariIni