Akta Kanun Keseksaan Dipinda, Tangani Isu Buli – Azalina

KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Kerajaan melalui Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) telah memperkenalkan pindaan melalui Akta Kanun Keseksaan (Pindaan) 2025 [Akta A1750] untuk menangani isu buli.

Menterinya, Datuk Seri Azalina Othman berkata, pindaan tersebut telah mendapat Perkenan Diraja pada 25 Februari 2025 dan diwartakan pada 7 Mac 2025.

“Pindaan ini memasukkan seksyen baharu 507B hingga 507G yang antaranya bertujuan menangani secara khusus isu buli yang dilakukan dalam apa-apa cara atau kaedah termasuk dalam talian.

“Pindaan ini memperuntukkan kesalahan berkaitan gangguan, ancaman, perbuatan membuli, penghinaan serta penyalahgunaan maklumat identiti, termasuk situasi yang mendorong kepada cubaan membunuh diri dan jika orang yang diprovokasi cuba untuk membunuh diri atau membunuh diri akibat provokasi itu, hukuman bagi kesalahan ialah pemenjaraan bagi suatu tempoh yang boleh dilanjutkan hingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Maka, ia adalah menjadi tanggungjawab setiap rakyat untuk meneliti dan mematuhi undang- undang yang sudah berkuatkuasa ini. Sekiranya terdapat kekeliruan atau keperluan mendapatkan penjelasan lanjut, khalayak ramai dialu-alukan mendapatkan maklumat terus daripada BHEUU, JPM atau Jabatan Bantuan Guaman yang sedia memberikan khidmat penerangan secara percuma,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia menyeru setiap kementerian, agensi, pertubuhan dan institusi untuk sentiasa peka dengan perkembangan undang-undang terkini.

“Saya menyeru setiap kementerian, agensi, pertubuhan dan institusi untuk sentiasa mengemaskini pengetahuan warga kerja masing-masing mengenai perkembangan undang-undang terkini serta memastikan dasar dan prosedur dalaman selaras dengan peruntukan ini.

“Perlu diingat, kejahilan berkenaan undang-undang bukan sebuah alasan di sisi undang-undang (ignorance of the law is not an excuse). Kefahaman yang jelas terhadap hak dan tanggungjawab di bawah undang-undang merupakan langkah pertama bagi membina masyarakat yang lebih selamat, beretika dan berperikemanusiaan,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79