IPT Swasta Disaran Anjurkan Program Dapur Siswa – Dr Zambry
KUALA NERUS, 10 Ogos – Semua universiti di negara ini disaran menganjurkan Program Dapur Siswa bertujuan meringankan beban kos sara hidup pelajar terutama daripada golongan B40.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, selain meringankan beban kos sara hidup pelajar tidak berkemampuan, program kebajikan itu juga mampu membentuk budaya saling membantu antara warga universiti.
Beliau berkata, pihak universiti tidak boleh membiarkan pelajar berdepan kesukaran sehingga tidak mampu makan, apatah lagi jika ia mengganggu tumpuan mereka dalam pengajian.
“Saya telah tekankan kepada semua mahasiswa dan naib-naib canselor memaklumkan kepada kita jangan membiarkan mereka yang mempunyai masalah kesulitan kewangan sehingga kita mendengar mereka terpaksa berhenti dan sebagainya.
“Yang tu kita tidak boleh terima kalau sekiranya ia berlaku. Kita faham ada antara mereka yang mengalami kesempitan kekangan kewangan keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas program In Person With Doc Zam: Semarak Kampus Madani 2025 di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kampus Gong Badak, di sini, malam tadi.
Terdahulu beliau menghadiri program ‘Bekwoh’ yang diadakan sempena pelancaran Program Dapur UniSiswa peringkat universiti berkenaan di perkarangan Masjid UniSZA.
“Di sini (UniSZA) pihak universiti menyediakan makanan kepada 300 pelajar yang tidak berkemampuan setiap hari dan pelajar yang menghadapi masalah kewangan dan sebagainya, mereka boleh pergi mendapatkan bantuan makanan daripada program berkenaan,” katanya.
Zambry berkata, setakat ini program berkenaan hanya membabitkan universiti awam dan ia akan diperluaskan ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) swasta.
“Saya ada juga menerima maklumat yang IPT swasta pun ada yang sudah melakukan inisiatif ini bagi meringankan beban kos sara hidup pelajar mereka yang tidak berkemampuan,” katanya. -BH Online