Analogi Lembu: Pas Tidak Faham, Hormat Wanita – Khaidirah

KUALA LUMPUR, 10 Ogos – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim, Datuk Khaidirah Abu Zahar beranggapan bahawa Pas tidak faham dan menghormati wanita.

Ini kerana katanya, kenyataan Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Kawasan Maran, Muhammad Salman Al Farisi yang menyamakan pemimpin wanita dengan “lembu betina” adalah amat memalukan.

“Kenyataan tersebut sudah semestinya akan mengguris perasaan mana-mana sahaja wanita. Pada saya, kenyataan tersebut sangat kasar dan tidak tahu kedudukan seorang lelaki dalam Islam tentang bagaimana untuk melayani dan meletakkan wanita itu sendiri.

“Islam sendiri mengangkat, menjaga dan meletakkan kedudukan wanita jauh lebih baik daripada agama lain. Beliau pun ‘quote’ surah al-Nisa tetapi hanya ambil ayat yang mengangkat lelaki sebagai ketua sahaja.

“Tetapi, beliau tak baca pun daripada seluruh konteks surah tersebut. Saya rasa beliau tak faham pun. Bukankah sepatutnya orang Pas ini lebih handal baca al-Quran?” katanya kepada UMNO Online.

Beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jasin berkata, Muhammad Salman perlu membuat kenyataan maaf secara terbuka atas kenyataan tersebut.

“Kenyataan ini sangat memalukan daripada pemimpin parti yang kononnya mendaulatkan agama Islam. Pada saya, beliau kena buat kenyataan maaf secara terbuka kepada semua wanita.

“Saya percaya, dalam keluarga beliau juga ada wanita… ada emak, anak-anak perempuan apatah lagi isteri. Apabila beliau meletakkan kedudukan wanita itu sebagai seekor lembu… emak dan isteri juga adalah ketua di rumah apabila mereka keluar bekerja.

“Ketua ini tidak boleh dianggap daripada segi pentadbiran dan hierarki organisasi sahaja. Ia berlaku di seluruh tahap dalam setiap aspek kehidupan kita. Jadi, kalau dikatakan ketua perempuan itu bagai seekor lembu, susahlahkan?” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa wanita tidak pernah meminta hak sama rata dan hanya mahu dihormati.

“Jadi sebagai seorang lelaki yang mempunyai kehidupan dan diberi penghormatan maka ketahuilah cara untuk menghormati orang perempuan juga. Sebagai pemimpin wanita, saya faham bahawa kita ada hak kedudukan dalam agama, pentadbiran dan sebagainya.

“Kita bukan minta ‘equal rights’ atau hak sama rata. Tetapi, kita memerlukan hormat yang sama. Itu sahaja dah mencukupi. Dalam konteks ini, saya melihat bahawa mereka tidak faham dan tidak tahu menghormati wanita,” katanya lagi.

Terdahulu, Muhammad Salman menerusi hantaran di laman Facebooknya  telah menyamakan wanita yang memegang jawatan kepimpinan dengan “lembu betina”.

Pada Selasa, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man mempertahankan kenyataan dan katanya ia perlu difahami sebagai satu bentuk analogi biasa dalam penulisan, bukannya bertujuan menghina wanita. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79