Wanita UMNO Malaysia Kesal PKR Terima Keahlian Tengku Zafrul – Rosni Zahari

KUALA LUMPUR, 9 Ogos – Wanita UMNO Malaysia amat kesal dan memandang serius tindakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menerima permohonan keahlian bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO merangkap Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, yang kini telah sah menyertai PKR Cabang Ampang.

Ketua Penerangan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Rosni Zahari berkata, pendirian rasmi UMNO yang telah dinyatakan oleh Setiausaha Agung UMNO pada 30 Mei 2025 yang lalu, bahawa tindakan menerima ahli daripada parti rakan dalam Kerajaan Perpaduan secara sewenang-wenangnya adalah tidak wajar dan berpotensi menjejaskan keharmonian serta perpaduan antara parti-parti dalam gabungan kerajaan.

“Wanita UMNO juga menyokong penuh pendirian Presiden UMNO sebelum ini yang menganggap tindakan mana-mana parti dalam Kerajaan Perpaduan menerima keahlian Tengku Zafrul sebagai sesuatu yang tidak beretika.

“Wanita UMNO Malaysia berpendapat bahawa perpaduan dan kesetiaan antara parti-parti dalam gabungan perlu dijunjung tinggi demi memastikan kestabilan Kerajaan Perpaduan.

“Tindakan tersebut bukan sahaja menimbulkan prasangka buruk dan prejudis dalam kalangan ahli akar umbi, malah turut menjejaskan imej kesungguhan serta keikhlasan kerjasama yang selama ini dibina dengan penuh harapan,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, Rosni yang juga Naib Ketua Wanita Negeri Pahang menegaskan kerjasama yang terjalin antara parti-parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan harus berpandukan kepada persefahaman dan saling menghormati bagi mengelakkan sebarang ketegangan politik.

“Wanita UMNO Malaysia menegaskan agar semua parti dalam Kerajaan Perpaduan, khususnya PKR, agar menghormati semangat kesetiaan dan etika politik demi memelihara kestabilan serta keutuhan gabungan kerajaan,” ujarnya.

Terdahulu, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz telah menghantar surat peletakan jawatan dalam UMN sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Ketua UMNO Bahagian Kota Raja dan ahli UMNO untuk menyertai PKR. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79