SWP Kecam Kenyataan Biadab Ketua Penerangan Pemuda Pas Maran

KUALA LUMPUR, 9 Ogos – Sekretariat Wanita Profesional (SWP) dengan tegas mengecam kenyataan Ketua Penerangan Pemuda Pas Maran, Muhammad Salman Al Farisi, yang secara terbuka menyamakan wanita dalam kepimpinan dengan ‘lembu betina’ dalam kawanan ternakan.

Menerusi satu kenyataan, Pengerusinya, Dr Masliha Harun berkata, kenyataan tersebut bukan sahaja biadab dan seksis, malah mencerminkan penghinaan terhadap wanita secara keseluruhan, khususnya mereka yang bergiat aktif dalam ruang kepimpinan dan profesional.

“Lebih membimbangkan, kenyataan tersebut mencerminkan kejahilan terhadap prinsip asas Islam yang jelas mengangkat martabat wanita. Islam tidak pernah mendiskriminasi wanita berdasarkan jantina, malah terdapat banyak contoh dalam sejarah Islam tentang kepimpinan dan kebijaksanaan wanita termasuk Saidatina Aisyah r.a. dan lain-lain tokoh wanita yang dihormati.

“Sebagai seorang pemimpin parti politik, kenyataan beliau sangat tidak bertanggungjawab dan boleh mencetuskan salah faham serta sentimen kebencian terhadap penglibatan wanita dalam kepimpinan.

“Wanita bukan makhluk kelas kedua. Kami menyeru semua pihak untuk menjaga akhlak dan adab dalam menyampaikan pandangan, lebih-lebih lagi yang melibatkan sensitiviti jantina dan agama. Wanita berhak dihormati, didengar dan memimpin,” katanya.

Mengulas lanjut Dr Masliha yang juga Exco Wanita UMNO Malaysia menggesa agar permohonan maaf diadakan secara terbuka dibuat susulan kenyataan yang didakwa  mencemarkan imej wanita dan agama.

“SWP menuntut permohonan maaf secara terbuka daripada Muhammad Salman Al Farisi, tindakan disiplin daripada kepimpinan Pas terhadap individu berkenaan.

“Komitmen semua pihak untuk tidak mengeluarkan kenyataan berbentuk misoginis yang boleh merosakkan imej agama dan masyarakat,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79