Wanita Wajar Dihormati, Bukan Dihina Dengan Politik Murahan – Puteri UMNO Perak
IPOH, 8 Ogos – Pergerakan Puteri UMNO Negeri Perak mengecam sekeras-kerasnya kenyataan seorang pemimpin pembangkang yang menyamakan pemimpin wanita sebagai ‘lembu betina’.
Menurut Ketuanya Sarah Syazwani Saari, kenyataan itu bukan sahaja biadab, malah menghina martabat wanita secara keseluruhan.
“Sebagai seorang pemimpin, kata-kata dan sikap mencerminkan nilai dan prinsip yang dibawa. Apa yang dilontarkan ini jelas membuktikan betapa ceteknya pemikiran politik sesetengah pihak yang masih memilih untuk berpolitik secara menghina dan menyerang peribadi khususnya terhadap kaum wanita.
“Wanita dalam politik bukan hanya hiasan. Kami adalah penggerak komuniti, pembuat dasar, dan penyumbang aktif kepada pembangunan negara. Penghinaan seperti ini tidak mencerminkan kematangan demokrasi, sebaliknya mencerminkan budaya politik murahan, seksis dan tidak beradab,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelasnya lagi, lebih mengecewakan apabila kenyataan tersebut dipertahankan oleh pemimpin parti sendiri, sekaligus menunjukkan bahawa budaya misoginis dan penghinaan terhadap wanita kini dijadikan ‘modal politik’ oleh pihak tertentu.
“Puteri UMNO Negeri Perak menegaskan bahawa wanita wajar dihormati, bukan dijadikan bahan penghinaan demi kepentingan politik sempit.
“Politik yang mencederakan maruah dan integriti hanya akan membawa perpecahan dan kebencian, bukan kemajuan,” tambah Ketua Puteri UMNO Bahagian Parit itu lagi.
Justeru katanya, Puteri UMNO Negeri Perak menuntut permohonan maaf secara terbuka dan individu itu menarik balik kenyataan menghina tersebut.
“…serta gesaan agar semua parti politik mendidik pemimpin mereka agar lebih bertanggungjawab dalam ucapan dan tindakan.
“Puteri UMNO Negeri Perak akan terus menjadi suara tegas dalam mempertahankan maruah dan kedudukan wanita, serta menolak segala bentuk politik kebencian dan penghinaan yang menjatuhkan martabat rakyat Malaysia,” ujarnya. – UMNO ONLINE