Wakil Rakyat Wanita UMNO/BN Terus Komited Perkasa Agenda Rakyat

KUALA LUMPUR, 8 Ogos – Kesungguhan, komitmen dan keprihatinan rakyat menjadi fokus utama pada perjumpaan wakil-wakil rakyat Wanita UMNO/Barisan Nasional (BN).

Dianjurkan oleh Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said, ia sebagai platform bertukar pandangan bagi membuka lebih banyak ruang kepada wanita lain untuk turut serta dalam kepimpinan, politik, dan penggubalan dasar melalui program pemerkasaan dan pembangunan kapasiti.

“Pertemuan tersebut diadakan bagi membincangkan keperluan untuk BN menilai dan menyemak semula status pencapaian dan prestasi semasa.

“Selain daripada itu, ia juga merupakan platform untuk wakil rakyat BN wanita bertukar-tukar pendapat dan mendapatkan hala tuju ke arah memantapkan perkhidmatan kepada rakyat menuju separuh penggal kedua sebelum Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16),” kata Azalina merangkap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi).

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri selaku Presiden UMNO dan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Wanita UMNO/BN, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad, yang diadakan di Menara Dato Onn, di sini.

Hadir sama wakil-wakil rakyat Wanita UMNO/BN yang terdiri daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Negara.

Sementara itu, Noraini menerusi hantaran di Facebook menyifatkan pertemuan tersebut bagi memperkukuh jaringan kerjasama antara kepimpinan tertinggi parti dan barisan wakil rakyat wanita dalam UMNO/BN, selain memperhalusi strategi ke arah memperkasakan peranan wanita dalam landskap politik negara yang semakin mencabar.

“Perjumpaan tersebut turut menjadi platform untuk buat kami 21 orang para Ahli Parlimen, Senator dan ADUN wanita berkongsi pandangan, cabaran serta cadangan mengenai dasar dan program yang boleh memperkasa wanita di kawasan masing-masing.

“Kesungguhan, komitmen dan keprihatinan kami juga diharap dapat membuka lebih banyak ruang kepada wanita lain untuk turut serta dalam kepimpinan, politik, dan penggubalan dasar melalui program pemerkasaan dan pembangunan kapasiti,” ujar beliau.

Dalam pada itu ADUN Tenang, Haslinda Salleh usai pertemuan tersebut turut sama berikrar untuk terus bekerja dengan integriti, telus dan penuh tanggungjawab kepada rakyat.

Menurut beliau ini kerana kepimpinan yang beretika akan memberikan keyakinan kepada rakyat, terutamanya kepada generasi muda wanita untuk turut serta dalam bidang politik dan kepimpinan.

“Selain itu kami akan terus mendekati rakyat secara aktif, sentiasa turun padang, mendengar masalah rakyat, dan berusaha mencari penyelesaian bersama. Ini menunjukkan komitmen dan keprihatinan terhadap rakyat,” ujar beliau. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79