Rosni Kecam Pemuda Pas Maran Hina, Perlekeh Golongan Wanita
KUALA LUMPUR, 8 Ogos – Ketua Penerangan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Rosni Zahari mengecam keras kenyataan yang dibuat oleh Ketua Penerangan Pemuda Pas Maran, Muhammad Salman Al Farisi, yang disifatkan bukan sahaja menghina wanita, malah mencemarkan imej Islam itu sendiri.
Rosni merujuk kepada satu hantaran di media sosial yang dibuat oleh Muhammad Salman, yang menggunakan analogi ‘lembu betina yang jadi ketua padang ragut’ dalam konteks wanita memimpin yang disifatkan sebagai biadap dan jahil terhadap kedudukan wanita dalam Islam.
“Analogi lembu betina yang ‘jadi ketua padang ragut’ digunakan untuk memperlekeh wanita yang memimpin. Sedangkan wanita diberi akal, maruah, ilmu dan peranan besar dalam sejarah Islam. Menyamakan wanita dengan haiwan ternakan bukan sahaja tidak masuk akal, tetapi juga jahil dari sudut agama.
“Lebih mengecewakan apabila analogi sebegini dipertahankan oleh pimpinan tertinggi Pas kononnya ‘tidak hina wanita’, ia menunjukkan bahawa parti ini sudah tidak mampu membezakan antara kebodohan dan kehinaan.
“Jadi, siapa kamu wahai pimpinan Pas, untuk menyamakan wanita dengan lembu? Adakah kamu fikir wanita yang menjadi ibu, guru, doktor, peguam, ahli akademik, jurutera hanya layak digambarkan sebagai lembu betina yang memimpin jantan ke padang ragut? Ini bukan cara Islam, ini bentuk penghinaan dan penyakit patriarki yang berselindung di sebalik kopiah dan serban,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Mengulas lanjut, Rosni yang juga Naib Ketua Wanita UMNO Negeri Pahang berkata kenyataan tersebut tidak ditegur oleh pimpinan Pas, malah dipertahankan lagi.
“Apabila kepimpinan tertinggi parti seperti Tuan Ibrahim sendiri tampil mempertahankan analogi menghina ini, maka kebisuan bukan lagi satu pilihan. Kenyataan rasmi perlu dibuat, bukan untuk mereka, tetapi untuk semua wanita yang telah dan sedang dinafikan martabatnya oleh budaya politik seperti ini.
“Ini adalah bukti nyata bahawa pemikiran misoginis, dangkal, dan regresif memang sudah berakar dalam dalam kepimpinan tertinggi Pas. Ketika wanita Islam berjuang mempertahankan maruah, Pas memilih untuk mempertahankan analogi lembu,” jelasnya.
Tegas Ketua Wanita UMNO Bahagian Maran itu, Islam memuliakan wanita tetapi Pas memperlekehkan mereka dan mendesak parti itu jangan berterusan mengelirukan rakyat.
“Jangan salahkan rakyat kalau mereka kini percaya bahawa Pas tidak menghormati wanita, takut pada wanita yang berpendidikan, berkuasa, dan berprinsip. Pas mahu masyarakat terus diperbodohkan dengan tafsiran sempit agama,” ujarnya.
Seterusnya kata Rosni lagi, fakta sejarah membuktikan wanita boleh dan telah berjaya memimpin apa yang diceburinya.
“Sebagai contoh, Khadijah RA; ahli perniagaan agung, penyokong utama Rasulullah SAW. Aisyah RA; ulama, mujahidah, pemimpin perang Jamal. Ratu Balqis; ratu yang bijaksana dan adil, disebut dalam Al-Quran.
“Shajarat al-Durr: pemerintah Mesir, pemimpin tentera dalam Perang Salib. Nusaybah binti Ka’ab RA; pelindung Rasulullah SAW di medan perang dan Zainab RA; orator yang melawan kezaliman selepas Karbala,” ujarnya. – UMNO Online