PRN: Jentera Penentu Kemenangan, UMNO Sabah Fokus Isu Rakyat
PUTATAN, 8 Ogos – Pengarah Jabatan Pilihan Raya UMNO Sabah, Jeffery Nor Mohamed menyifatkan kekuatan jentera parti akan menjadi faktor penentu utama dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan datang.
Menurut beliau, selain strategi, keikhlasan dan perpaduan dalam kalangan petugas akar umbi adalah tunjang kejayaan bagi mana-mana calon.
“Saya melihat pilihan raya kali ini bergantung sangat kepada jentera. Mana-mana parti yang mempunyai jentera yang baik, jujur, ikhlas dan bersepadu akan memberikan kelebihan kepada calonnya,” katanya dalam temu bual khas bersama UMNO-Online.
Jeffery yang juga Ketua UMNO Putatan seterusnya menjelaskan jenteranya kini hampir lengkap dan sentiasa bersiap sedia.
“Fokus kini beralih kepada pelancaran data pengundi putih serta strategi untuk memastikan kehadiran pengundi putih secara maksimum pada hari pengundian.
“Cabaran lama kami ialah mengeluarkan 100% pengundi putih. Jadi gerak kerja sekarang ini tertumpu kepada pendekatan baharu untuk memastikan kehadiran mereka ke pusat-pusat pengundian,” tambah beliau.
Mengulas mengenai kempen Sabah For Sabahan, beliau menegaskan bahawa isu hak negeri seperti Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak seharusnya dijadikan bahan politik semata-mata, sebaliknya perlu diperjuangkan dengan pendekatan realistik melalui saluran yang betul.
“Jawatankuasa MA63 hanya berjaya dibentuk ketika Barisan Nasional (BN) menjadi kerajaan. Asas kepada tuntutan itu tidak pernah dimulakan oleh mana-mana parti lokal, sehinggalah BN melaksanakannya. Ini bukan retorik, ini fakta,” jelasnya.
Jeffery seterusnya menyeru rakyat Sabah agar berfikir secara matang dan mempertimbangkan tawaran sebenar daripada parti yang mampu membawa perubahan dan menyelesaikan isu-isu negeri secara berkesan.
“Kami di UMNO Sabah dan BN Sabah menawarkan pelan tindakan yang jelas dan ikhlas untuk rakyat. Beri kami peluang untuk memimpin, dan kami akan kembalikan apa yang rakyat Sabah berhak miliki,” katanya menutup temu bual.
UMNO Putatan kini giat menggerakkan pelbagai inisiatif akar umbi menjelang PRN Sabah yang dijangka akan diumumkan tidak lama lagi. – UMNO ONLINE