Pihak Berwajib Perlu Proaktif Kenal Pasti Pelajar Cenderung Membuli
KUALA LUMPUR, 8 Ogos – Wanita UMNO Negeri Pahang menggesa pihak berwajib supaya lebih proaktif dan tegas dalam mengenal pasti pelajar yang ada kecenderungan membuli.
Ketuanya, Norhasmimi Abdul Ghani berkata, ramai pelaku buli sebenarnya menyimpan masalah dalaman yang mungkin berpunca daripada tekanan emosi, trauma atau gangguan mental.
“Pemergian adik Zara Qairina amat meruntun jiwa. Seorang anak yang tidak berdaya sepatutnya dilindungi, dipercayai telah menjadi mangsa kepada budaya buli yang semakin membarah di sekolah.
“Tragedi ini bukan sahaja menggoncang hati rakyat Malaysia, malah menjadi peringatan keras bahawa isu buli adalah ancaman nyawa yang perlu ditangani segera.
“Kita tak boleh lagi memandang ringan isu buli. Ramai pelaku buli sebenarnya menyimpan masalah dalaman yang mungkin berpunca daripada tekanan emosi, trauma, atau gangguan mental dan tidak dikesan lebih awal,” katanya menerusi satu kenyataan.
Ujarnya, Wanita UMNO Pahang mencadangkan agar saringan kesihatan mental dan tingkah laku pelajar dijadikan sebahagian daripada sistem sokongan sekolah untuk mengesan tanda awal.
“Wanita UMNO Pahang menggesa agar kerajaan, pihak sekolah dan berkaitan supaya lebih proaktif serta tegas dalam mengenal pasti pelajar yang ada kecenderungan membuli. Mereka ini perlu dipantau, diberi rawatan dan bantuan emosi sebelum keadaan jadi lebih parah.
“Wanita UMNO Pahang mencadangkan agar saringan kesihatan mental dan tingkah laku pelajar dijadikan sebahagian daripada sistem sokongan sekolah supaya dapat mengesan tanda awal tekanan serta kecenderungan membuli.
“Kedua, saluran aduan dan pemantauan pelajar berisiko diperkasa, bukan disembunyi. Ketiga, menghidupkan amalan amar makruf nahi mungkar dalam kalangan pelajar dengan membiasakan mereka menegur perbuatan salah dan saling melindungi antara satu sama lain,” katanya lagi.
Jelasnya, ibu bapa juga berperanan untuk segera melaporkan sebarang kes kepada guru dan bersedia bekerjasama dalam proses kaunseling atau intervensi.
“Buli bukan sekadar kenakalan remaja. Ia adalah tanda bahaya. Jika tidak ditangani segera, lebih ramai akan jadi mangsa seperti adik Zara. Tanggungjawab kita adalah untuk melindungi semua anak-anak di sekolah, bukan hanya mangsa, tetapi juga pelaku. Anak yang dibiarkan tanpa bimbingan dan rawatan hari ini, mungkin akan mencederakan orang lain hari esok.
“Perkara yang paling penting, kes adik Zara mesti disiasat secara terperinci dan telus. Kita mahu keadilan untuk Zara, keluarganya dan semua anak-anak yang mungkin sedang melalui perkara sama dalam diam.
“Buli ini bukan soal nakal tetapi soal nyawa. Zara sudah kehilangan nyawa dan ia telah diragut, walau bukan dengan senjata tetapi dengan sikap acuh tak acuh kita sendiri,” katanya lagi – UMNO Online