Kerajaan Sedang Teliti RUU Pekerja Gig 2025 – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 8 Ogos – Kerajaan sedang meneliti pelbagai pendekatan termasuk Rang Undang-Undang Pekerja Gig 2025 yang akan dibentangkan di Parlimen pada 14 Ogos ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan beliau telah berkesempatan untuk bersama Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong, Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dan penggiat serta wakil platform ekonomi gig pada Khamis.

“Sesi Sembang Santai Teh Tarik Industri Gig kali ini cukup istimewa. Saya bersama Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berpeluang duduk semeja dengan penggiat dan wakil platform ekonomi gig, mendengar sendiri suara hati, harapan serta cabaran mereka.

“Di sebalik kesungguhan mereka mencari rezeki, tersimpan harapan agar masa depan mereka lebih terjamin dan terbela,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, RUU Pekerja Gig 2025 bakal memperkenalkan takrifan rasmi pekerja gig termasuk memperluas jaringan keselamatan sosial.

”Kerajaan sedang meneliti pelbagai pendekatan, termasuk RUU Pekerja Gig 2025 yang akan dibentangkan di Parlimen pada 14 Ogos ini. Ia bakal memperkenalkan takrifan rasmi pekerja gig, mewujudkan perjanjian kerja yang tersusun dan memperluas jaringan keselamatan sosial melalui PERKESO.

“Usaha ini akan diperkukuh melalui penubuhan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) sebagai satu badan yang akan menjadi suara dan pelindung kepada komuniti gig negara.

“Terima kasih saya ucapkan kepada KESUMA, PERKESO, MDEC dan semua yang hadir serta berkongsi pandangan. Sesi ini mungkin santai, tetapi natijahnya cukup besar. Insya-Allah, saya akan terus pastikan suara anda dibawa ke meja dasar negara,” katanya lagi. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit #UMNO79